suria

Tidak Berdisiplin : Farid Kamil Tegur Penerbit Astro

PETALING JAYA: Selepas sekian lama mengunci mulut apabila dituduh tidak berdisiplin kerana gagal menghadiri rakaman Kampung Prima: Babak 105 pada 13 Ogos lalu, pelakon Farid Kamil (Gambar) akhirnya memberi kenyataan dengan menasihati salah seorang penerbit eksekutif di Astro Prima agar tidak membuat kenyataan membuta tuli

Farid seperti dipetik blognya berkata, kenyataan seorang penerbit baru untuk sitkom tersebut menerusi media telah menjejaskan kredibiliti penerbit itu sendiri.

“Pertama kali saya ingin menasihati penerbit eksekutif baru sitkom tersebut supaya lebih berhati-hati dan teliti sebelum mengeluarkan kenyataan buruk kepada media berhubung masalah yang timbul,” katanya.

Menurut Farid, dia memilih untuk tidak terlibat dalam penggambaran sitkom tersebut atas dasar profesionalisme yang diamalkannya dan pihak pengurusan MIG Production.

Kata Farid, ini kerana tiada apa-apa perjanjian hitam putih yang ditandatangani untuk memaksa dia terlibat dalam rakaman itu.

Sehubungan itu Farid meminta penerbit eksekutif program itu supaya memahami kontrak yang ditandatanganinya sebagai “wajah eksklusif Astro” terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Sekiranya dia (penerbit berkenaan) tahu dan faham perbezaan kontrak di antara “wajah eksklusif Astro dan juga kontrak “selebriti Astro”, jadi adakah wajar saya dilabelkan sebagai tidak berdisiplin?” soalnya.

Sebelum ini pihak Astro melahirkan rasa kecewa apabila Farid tidak muncul untuk rakaman rancangan berkenaan sedangkan Farid dikatakan telah hadir bagi mendengar taklimat rancangan itu pada sebelah siangnya.

Kegagalan Farid itu menyebabkan skrip sitkom berkenaan terpaksa dirombak sementara Farid gagal dihubungi serta tidak menjawab panggilan telefon bagi menjelaskan perkara sebenar.

Pengurus saluran Astro Prima, Nizam Sani pula mendakwa pihaknya tidak mendapat apa-apa penjelasan daripada Farid berhubung masalah itu.

Bagaimanapun Produser David Teo menolak tuduhan tersebut sebaliknya berkata Farid tidak pernah menghadapi maslah disiplin dan berharap salah faham yang berlaku itu dapat diselesaikan.

Sementara itu wartawan Kemalia Othman yang bertemu Farid Kamil pada majlis berbuka puasa Astro Show di Putrajaya, Khamis, melaporkan pelakon itu tidak hadir untuk rakaman berkenaan selepas ketiadaan pelakon wajah eksklusif Astro lain iaitu Erra Fazira, Lisa Surihani dan Aaron Aziz.

Ini kerana kata Farid dia hanya akan menerima tawaran berlakon sekiranya artis-artis berkenaan terlibat berdasarkan kepada perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain