PADA Hari Raya Aidilfitri tahun ini, koreografer Linda Jasmine, 38, dan suaminya, aktor Que Haidar, 31, akan beraya bersama-sama puteri sulung mereka iaitu Tengku Ratu Haidar. Sudah semestinya suasana Hari Raya menjadi lebih meriah berbanding tahun lalu.Usia Ratu telah mencecah 10 bulan dan sudah boleh dipakaikan baju kurung yang cantik-cantik. Sebagai ibu, Linda memikirkan yang terbaik untuk Ratu lantas tidak kisah untuk berbelanja lebih membelikan pakaian Hari Raya buat puterinya itu. Selain itu, Linda tidak lupa untuk membeli pakaian Hari Raya untuk anak pertamanya, Qalif Khan, 10. Sudah menjadi kebiasaan, pakaian untuk anak lelaki biasanya tidak terlalu ‘meriah’ seperti pakaian anak perempuan. Linda sendiri mengakuinya sehingga rambang mata ketika memilih pakaian yang cantik untuk si kecil.“Apabila keluar membeli-belah, tidak sah jika saya tidak membeli pakaian untuk Ratu sebab kebanyakan pakaian kanak-kanak perempuan cantik-cantik belaka. Setakat ini, saya sudah membelikan 10 pasang baju raya untuknya termasuk baju kurung dan baju kebaya.“Saya tak tahan bila melihat pakaian bayi yang comel-comel, jadi sebab itu saya beli. Semasa berjalan di Suria KLCC hari ini (Ahad) pun saya sempat membeli tiga pasang baju untuk Ratu,” katanya semasa majlis berbuka puasa anjuran Linda Jasmine Studio di Saloma Bistro, Ahad.Menurut Linda, dia sentiasa bersikap adil kepada anak-anaknya dan cuba memenuhi keperluan mereka seadanya yang termampu. Namun Linda perhatikan Qalif merupakan seorang abang yang memahami apabila dia memberikan lebih perhatian kepada Ratu.Kadangkala, Que yang memainkan peranan untuk memberikan masa yang berkualiti kepada Qalif seperti membawanya keluar bersiar-siar.Bercerita tentang majlis berbuka puasa itu, Linda selaku pengetua studionya berhasrat untuk mengadakan majlis berkenaan pada setiap tahun. Selain itu, dia berniat untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar, ibu bapa pelajar, staf dan pelanggan.Setakat ini, seramai lebih 100 orang pelajar yang telah mendaftar di studio tersebut. Selain Linda, Que turut mengajar di studio itu sebagai guru lakonan.Jika ada yang berminat untuk mengikuti kelas tarian, muzik dan lakonan, boleh mendaftar di Linda Jasmine Performing Arts Studio (LJ Studio), 23C, Wisma Ampang Triangle 2, Jalan Ampang, 68000, Ampang atau hubungi 012-2414038 (Zila).