suria

Faezah Elai Takut Dikritik

PELAKON dan model Faezah Elai, 28, mengakui bimbang menanti reaksi penonton terhadap beberapa buah filem yang bakal ditayangkan akhir tahun ini selepas lakonan untuk filem pertamanya berjudul Otai menerima kritikan hebat.

Gadis berusia 28 tahun ini memberitahu empat filem yang bakal ditayangkan iaitu Cun, Adik Manja The Return, Mantera dan Senjakala.

Mutu lakonannya dalam filem-filem itu telah menunjukkan peningkatan.

Dia juga mengakui trauma untuk berlakon filem selepas Otai, menganggap peluang kedua ini sebagai masa paling sesuai untuk dia melangkah semula ke dunia perfileman.

"Selepas dikritik tentang lakonan pertama saya iaitu untuk filem Otai, saya memang betul-betul kecewa dan tak mahu berlakon filem lagi. Maklumlah, itu lakonan pertama saya, mereka seharusnya faham.

"Selepas itu saya ambil keputusan untuk belajar dari bawah. Saya cuba berlakon drama dan tunjuk pada masyarakat tentang bakat lakonan saya. Alhamdulilah saya belajar sedikit demi sedikit dan saya pasti ramai yang dah boleh terima.

"Saya juga yakin sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa saya benar-benar boleh berlakon" ujarnya yang baru selesai penggambaran filem Senjakala arahan Ahmad Idham.

Bekas pramugari MAS ini memberitahu bukan mudah untuk bangkit semula selepas kemunculan pertama telah memberi persepsi buruk di mata penonton.

"Awal kemunculan dulu mereka kata saya kaku, saya pula berlakon dengan nama-nama besar seperti Nasha Aziz dan Apek. Banyak kelemahan yang orang boleh nampak bila kita berlakon dengan mereka yang betul-betul berpengalaman.

"Jadi, untuk bangun semula dan buktikan kemampuan saya bukan satu yang mudah. Tapi Alhamdulilah melalui drama-drama terutamanya Suteramaya telah membuka mata orang ramai.

"Selain itu, saya rasa lebih kuat untuk terima kritikan, apa pun orang nak cakap tentang lakonan saya, saya dah boleh terima," katanya.

Dalam pada itu, anak mami ini juga mengakui gemar membawakan watak wanita solehah berbanding watak lain.

"Orang dah biasa nampak saya bawa watak kasar sehinggakan ada yang anggap diluar set penggambaran juga begitu. Tapi itu bukan saya, saya tidak kasar, saya seperti wanita biasa.

"Kalau diberi pilihan saya mahu membawakan watak-watak perempuan baik, solehah dan menegakkan Islam. Itu juga cabaran bagi saya," katanya.

Sementara itu berceria tentang impian jangka panjang, pelakon La Dolce Amira ini mempunyai hasrat terpendam. Dikala ramai artis memilih membuka bisnes butik atau restoran, Faezah mempunyai misinya tersendiri.

"Saya tidak berminat untuk buka butik atau restoran, saya lebih suka buka tadika sebab saya suka kanak-kanak. Bagi saya bila jumpa anak kecil, tekanan hilang," katanya

Artikel Sebelum

Slash Diiktiraf Di Los Angeles

Artikel Berikut

Artikel Lain