suria

Noniswara Redha Pemergian Ibu Di Hari Kedua Puasa

Noniswara hadir ke majlis rakaman Melodi Raya 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat. - Foto oleh RICKY LAI
Noniswara hadir ke majlis rakaman Melodi Raya 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat. - Foto oleh RICKY LAI
Noniswara hadir ke majlis rakaman Melodi Raya 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat. - Foto oleh RICKY LAI

AKTRES Noniswara redha dan sudah mampu menerima suratan takdir atas pemergian ibunda tercinta ke rahmatullah pada 12 Ogos lalu akibat mengidap kanser payudara.

Selepas lebih seminggu Noor Inim Ahmad, 58, meninggal dunia, Noniswara akui sentiasa merindui dan teringat akan arwah setiap hari lebih-lebih lagi sebelum tidur.

Hubungan mereka akrab bukan hanya sebagai ibu dan anak malah juga sebagai kawan yang boleh berbincang dan berkongsi pelbagai cerita. Memandangkan Noor Inim menjalani rawatan di sebuah hospital di Kota Baru manakala Noniswara di Kuala Lumpur, mereka tetap tidak putus berbual melalui telefon antara satu sama lain.

“Walaupun kami tak selalu berjumpa, tetapi apabila teringatkan arwah, saya mesti menitiskan air mata sebab dia terlalu istimewa dan saya bertuah memiliki ibu sepertinya.

“Dia seorang yang agresif dan suka melakukan kerja amal ketika berkhidmat dalam NGO. Saya tak sangka dia meninggal dunia terlalu awal. Mungkin Allah lebih sayangkan dirinya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dia meninggal pada bulan Ramadan dan orang kata hanya orang yang terpilih sahaja meninggal pada bulan ini,” kata wanita itu kepada mStar Online.

Pada awal Jun lalu, Noor Inim sempat menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi tidak sampai satu bulan di Institut Kanser Nilai (NCI) pada akhir Jun lalu setelah kansernya menyerang semula sejak dua bulan lalu.

Menceritakan tentang saat pemergian ibunya, Noniswara berkata dia sempat mengajar mengucap dua kalimah syahadah dan menatap wajah wanita itu buat kali terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara pada 13 Ogos.

“Sebelum meninggal, dia minta saya hantar ke HUKM dan selepas itu meminta saya pulang bersahur di rumah. Kira-kira 40 minit sebelum dia meninggal, doktor memanggil kami sekeluarga ke hospital.

“Pada pukul 7.30 pagi, dia meninggal dunia dalam keadaan mata terpejam dan mulutnya memakai alat bantuan pernafasan. Doktor mengesahkan kansernya telah merebak ke paru-paru dan hati,” ujarnya dalam nada tenang.

Bagi mengubati kesunyiannya, Noniswara meluangkan masanya dengan menghadiri undangan majlis berbuka puasa termasuk rakaman Melodi Raya 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat.

Dia juga masih menunggu tawaran lakonan asalkan kena pada skrip dan masanya.

Noniswara telah kehilangan arwah bapanya, Baharudin Yunus pada tiga tahun lalu. Arwah meninggal ketika dalam tidur pada usia 60 tahun.

Artikel Lain