suria

Ogy Mahu Tumpu Berniaga

PELAKON terkenal Fauziah Ahmad Daud, 49, atau lebih mesra dipanggil Ogy menyatakan hasratnya untuk memperlahankan aktiviti seni bagi menumpukan perhatian sepenuhnya pada bidang perniagaan.

Dia yang ditemui di Bazar Ramadan Seniman Sabtu lalu memberitahu bakal melancarkan koleksi tudung jenama sendiri dan pakaian kanak-kanak yang diberi nama Che Mina sempana nama anak angkatnya yang kini berusia 2 tahun 11 bulan.

"Saya ambil keputusan untuk perlahankan kerjaya seni kerana mahu tumpukan perhatian kepada dunia perniagaan. Saya mula jatuh cinta kepada bidang ini selepas percubaan pertama berniaga di Hari Keusahawaan di Stadium Bukit Jalil awal tahun lalu.

"Saya rasa puas kerana saya dapat menjalankannya dengan usaha sendiri dan dapat pulangan pada hari yang sama juga. Ia sangat berbeza dengan dunia lakonan.

"Insyaallah, selepas raya saya akan lancarkan koleksi tudung jenama sendiri, Ogy by Fauziah Ahmad Daud dan koleksi pakaian kanak-kanak berjenama Che Mina," katanya yang turut mengupah seorang pereka fesyen baru untuk koleksi pakaian kanak-kanaknya.

Pelakon yang terkenal dengan filem Azura ini juga memberitahu salah satu sebab dia lebih cenderung kepada bidang perniagaan ialah ingin menumpukan perhatian kepada anak angkatnya Nur Aminah Aishah.

"Anak saya sedang membesar dan semakin perlukan perhatian, jika saya berlakon tentu susah untuk menjaga dia. Tapi jika saya berniaga saya boleh bawa dia sekali.

"Ada tawaran berlakon tetapi naskah yang saya terima tidak memberangsangkan. Jadi lebih baik saya berniaga. Lagi pun usia saya sudah 49 tahun lebih elok rasanya saya perlahankan aktiviti seni," ujarnya yang turut membuka dua gerai di Bazar Ramadan Seniman.

Artikel Berikut

Artikel Lain