suria

Remy Ishak Hanya Ingin Berehat

Remy berhasrat untuk berehat seketika dalam bulan Ramadhan ini kerana tidak berhenti berlakon sejak akhir tahun lalu. - Foto oleh DALILAH NADIAH
Remy berhasrat untuk berehat seketika dalam bulan Ramadhan ini kerana tidak berhenti berlakon sejak akhir tahun lalu. - Foto oleh DALILAH NADIAH
Remy berhasrat untuk berehat seketika dalam bulan Ramadhan ini kerana tidak berhenti berlakon sejak akhir tahun lalu. - Foto oleh DALILAH NADIAH

AKTOR bertubuh sasa Remy Ishak atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak mengakui tawaran lakonan yang tidak putus sejak lewat tahun lalu membuatkan dirinya terlalu penat.

Justeru itu, bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan ini, sebolehnya pelakon drama bersiri Arjuna ini ingin berehat seketika daripada bidang lakonan dan menumpukan perhatian kepada ibadat berpuasa.

"Sejak akhir tahun lalu, saya tidak berhenti-henti berlakon, selepas teater Natrah, saya terlibat dalam filem Cun, drama bersiri Arjuna dan filem Nur Kasih The Movie. Jujurnya, saya terlalu penat dan kalau boleh saya ingin berehat dalam bulan puasa ini.

"Namun, saya masih belum dapat putuskan lagi kerana ia bergantung kepada keadaan. Cuma, seboleh-bolehnya saya ingin berehat dalam seminggu dua saja," katanya ketika dihubungi mStar Online, semalam.

Menurut Remy, walaupun dirinya kepenatan tawaran lakonan yang terus bertandang sehingga ke hari ini tetap perlu dipertimbangkan seteliti mungkin sebelum dia memutuskan untuk bercuti.

"Kalau diikutkan memang tawaran lakonan tidak putus sampai sekarang tetapi saya perlu fikirkan tentang diri saya juga.

"Jadi saya kena teliti setiap tawaran yang masuk dan mempertimbangkannya bergantung kepada kesesuaian waktu dan komitmen. Bukan hendak tolak rezeki cuma saya ingin ruang untuk berehat seketika," katanya.

Ditanya mengenai penglibatannya dalam pementasan teater Natrah musim kedua yang bakal dipentaskan semula pada 25 November hingga 5 Disember depan, Remy berkata, ia masih terlalu awal untuknya memberi sebarang ulasan.

"Saya tidak berani ulas lanjut sama ada akan berlaku perubahan besar pada watak dan jalan cerita Natrah sebab masih terlalu awal. Saya sendiri pun belum dapat skrip sepenuhnya lagi. Ia masih belum diputuskan lagi oleh pihak Istana Budaya mahupun pihak produksi sendiri.

"Apa yang pasti, saya masih memainkan watak Mansor Adabi tetapi tidak pasti ia akan dikembangkan atau diperbaiki untuk pementasan kali ini. Mungkin kami akan memulakan sesi latihan selepas Raya nanti," katanya yang baru sahaja bergandingan dengan Datin Paduka Umie Aida untuk telefilem Raya berjudul Airmata Nur Salina, arahan Erma Fatima.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain