Impian Berduet Dengan M. Nasir Tercapai - Faizal Tahir - Hiburan | mStar

Impian Berduet Dengan M. Nasir Tercapai - Faizal Tahir

Impian Faizal Tahir untuk berduet bersama idolanya M. Nasir tercapai dalam rakaman program muzikal Raya TV3, Fenomena Faizal Tahir. - Foto oleh RICKY LAI
Impian Faizal Tahir untuk berduet bersama idolanya M. Nasir tercapai dalam rakaman program muzikal Raya TV3, Fenomena Faizal Tahir. - Foto oleh RICKY LAI

IMPIAN penyanyi Faizal Tahir untuk berduet bersama penyanyi dan komposer M. Nasir tercapai akhirnya apabila kedua-dua anak seni berbakat besar ini berkongsi pentas dalam rakaman program muzikal raya terbitan TV3 iaitu Fenomena Faizal Tahir (FFT), Ahad lalu.

Menurut Faizal yang ditemui sejurus selesai rakaman program berdurasi satu jam setengah itu, impian untuk berduet dengan M. Nasir sudah lama dipendamkannya.

Apabila pihak TV3 mempelawanya bagi menjayakan rakaman program itu, Faizal tidak teragak-agak untuk menyenaraikan nama 'sifu' muzik itu sebagai salah seorang artis jemputannya.

"Sudah terlalu lama saya menantikan peluang untuk berduet dengan M. Nasir. Dia seorang penyanyi dan pemuzik yang hebat dan merupakan idola saya sejak dulu. Apabila pihak TV3 membentangkan idea program raya ini, terus nama M. Nasir muncul dalam fikiran saya.

"Memang saya terlalu ingin untuk berkongsi pentas dan menyanyi bersama M. Nasir. Apabila dia menerima pelawaan ini, saya begitu berbangga dan berbesar hati," katanya.

Dalam rakaman program itu, Faizal dan M. Nasir berduet menerusi lagu Kias Fansuri yang merupakan lagu kegemaran Faizal sendiri. Selain itu, M. Nasir itu turut menyampaikan lagu popularnya Sang Pencinta.

"Lagu Kias Fansuri merupakan antara lagu M. Nasir yang paling saya gemari. Jadi, apabila peluang untuk berduet ini menjadi kenyataan, saya memang nak menyanyi lagu itu bersama M. Nasir. Impian itu menjadi kenyataan akhirnya," katanya lagi.

Walaupun keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan pada malam itu, Faizal tetap mencuba sebaik mungkin dalam menyampaikan medley lagu-lagu yang pernah menjulang namanya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu Sampai Syurga, Cuba, Bencinta dan Mahakarya Cinta.

Selain medley, Faizal turut menyampaikan dua lagu daripada album terbarunya, Adrenalin, iaitu Hanyut dan Superhero, selain lagu popular Bryan Adams, Have You Ever Really Love A Woman (versi akustik).

Sekalipun mutu vokalnya tidak begitu memberangsangkan gara-gara masalah kesihatan yang dideritainya, kesungguhan duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin ini untuk melengkapkan rakaman pada malam itu harus dipuji.

"Sebenarnya saya memang tidak sihat tetapi memandangkan kesuntukan masa, rakaman terpaksa diteruskan juga sebab minggu depan sudah puasa. Saya telah mencuba sehabis baik dalam menyiapkan rakaman pada malam ini (Ahad).

"Walaupun saya percaya saya buat buat lebih baik daripada ini tetapi saya harus akur apa yang dipersembahkan pada malam ini adalah yang paling baik yang dapat saya lakukan," katanya yang terpaksa merakamkan lagu Hanyut sebanyak dua kali disebabkan oleh masalah vokal.

Selain M. Nasir, program muzikal berkonsepkan rock dan rancak yang diiringi oleh kumpulan muziknya sendiri, Royal FT Force itu turut dimeriahkan dengan persembahan memukau Azlan The Typewriter dan Adibah Noor.

Azlan dan kumpulannya tampil dengan lagu Kelibat Si Penyair dan Gerak Hati, selain berduet bersama Faizal dalam lagu Adrenalin. Manakala Adibah Noor pula mendendangkan dua lagunya, Sejujur Hatimu dan Terlalu Istimewa. Adibah dan Faizal juga sempat berduet menerusi lagu Selamat Malam.

Faizal, M. Nasir, Azlan dan Adibah menutup tirai rakaman FFT dengan menyampaikan lagu Selamat Hari Raya yang pernah dipopularkan oleh Datuk Ahmad Jais.

Aksi bertenaga Faizal dan rakan-rakannya dalam FFT yang akan bersiaran pada Hari Raya Kedua, pukul 6 petang di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain