suria

Astro Ria Perkenal Program Realiti 'Mari Menari'

JIKA program tarian Sehati Berdansa hanya melibatkan selebriti, kini Astro memperkenalkan sebuah program realiti tarian baru berjudul Mari Menari yang memberi peluang kepada orang ramai untuk sama-sama menari.

Program Mari Menari merupakan sebuah program realiti tarian terbaru bagi mencari calon pasangan yang berpotensi dalam bidang seni tari.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, Astro ingin mencungkil bakat dan kebolehan para penari yang berpotensi untuk diketengahkan menerusi platform yang disediakan.

"Secara jujurnya, kami berasa teruja untuk melihat sambutan orang ramai terhadap program Mari Menari kerana kami ingin mencari pasangan yang mempunyai pertalian darah atau muhrim di antara satu sama lain.

"Ini bermakna calon peserta boleh memilih sesiapa sahaja sebagai pasangan tari masing-masing untuk menyertai uji bakat ini asalkan mempunyai hubungan kekeluargaan di antara mereka," katanya pada sidang akhbar program realiti terbaru Astro Ria, Mari Menari di restoran Alexis Garden, The Gardens, Petaling Jaya, Isnin.

Pasangan penari juga terbuka kepada suami dan isteri, ibu dan anak lelaki, ayah dan anak perempuan serta adik-beradik yang cuba menyusun rentak serasi mengikut alunan lagu yang didendangkan.

Azlin berkata, calon peserta yang ingin menyertai sesi uji bakat itu tidak semestinya perlu mempunyai kelayakan atau pengalaman dalam bidang tarian tetapi haruslah mempunyai minat yang mendalam dalam bidang seni tari.

Para peserta perlulah merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun dan ke atas pada 30 Julai 2010.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program Mari Menari yang julung kali diperkenalkan di platform Astro, orang ramai dijemput hadir ke sesi uji bakat mencari bakat.

Ia akan diadakan selama dua hari berturut-turut pada 31 Julai dan 1 Ogos ini di Astro Bukit Jalil menerusi pintu masuk utara.

Kaunter pendaftaran dibuka dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan serta dua keping gambar terkini berukuran 4R. Calon pasangan yang hadir juga perlu membawa pakaian yang bersesuaian untuk menari sewaktu sesi uji bakat ini nanti.

Program Mari Menari akan mula bersiaran di Astro Ria pada 16 Oktober 2010. Butiran lanjut mengenai program ini akan diumumkan kelak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain