suria

Remy Kumpul Duit Untuk Tolong Keluarga

DI kala usianya telah menjangkau 28 tahun, aktor Remy Ishak masih belum berkesempatan untuk memikirkan tentang diri sendiri.

Katanya, setiap pendapatan yang diterima sepanjang empat tahun menceburi industri seni ini akan digunakan untuk membantu keluarga.

Pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak itu merupakan anak sulung daripada empat beradik. Tambahan pula setelah ibu dan bapanya berpisah, Remy banyak mengambil alih tanggungjawab seperti seorang bapa kepada adik-adiknya yang tinggal bersama-sama ibunya di tempat asalnya, Melaka.

“Kehidupan saya tidak sama seperti sesetngah artis lain sebab terlalu sibuk dengan kerja. Saya sudah jarang hidup sosial dan pendapatan saya banyak diberikan kepada keluarga,” ujarnya sewaktu penggambaran filem Nur Kasih The Movie di Kampung Gulang-Gulang, Tanjung Karang, Khamis.

Lakonan Remy semakin menyerlah dan mendapat perhatian ramai pihak termasuk penerbit dan pengarah filem serta drama.

Di awal kemunculan Remy, dia telah mencetuskan kontroversi apabila membintangi filem pendek berjudul Comolot yang berkisarkan tentang kehidupan golongan ‘gay’.

Seterusnya, filem Anak Halal turut mempopularkan nama Remy. Seterusnya drama bersiri Nur Kasih lebih membantu kepada penanda aras populariti Remy dalam industri.

Populariti yang diraih oleh pelakon kacak ini juga dilihat banyak membintangi drama atau telefilem lain, sama ada sebagai tunggak utama mahupun sekadar watak pembantu.

Sebalik populariti yang diraih, pelakon teater Natrah itu akui lebih mengharapkan penghargaan daripada peminat berbanding anugerah lain.

“Saya tak nafikan, selepas Nur Kasih kehadiran saya dalam industri semakin stabil. Tetapi terus-terang saya sebenarnya tidak mensasarkan apa-apa anugerah untuk filem Nur Kasih The Movie ini,” ujarnya sambil tersenyum.

Selepas membintangi Nur Kasih The Movie, Remy akui dia ada juga menerima tawaran untuk berlakon sebuah filem epik namun masih belum ada kata putus.

Remy berkata jadual kerjanya sibuk sejak awal tahun ini dan berkemungkinan untuk bekerja pada bulan puasa nanti.

Selain itu, dia juga akan membintangi sebuah telefilem Raya arahan Erma Fatima.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain