suria

Finas Nafi Skim Wajib Tayang Tidak Mampu Majukan Filem Tempatan

KUALA LUMPUR : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini menafikan dakwaan seorang penerbit filem kononnya skim wajib tayang yang dilaksanakan perbadanan itu tidak mampu memajukan industri filem tempatan.

Dalam satu kenyataan di sini, Finas berkata sejak dijadikan peraturan pada 2005 skim itu telah membantu para penerbit filem mendapatkan kutipan yang maksima melalui penetapan tarikh dan tempoh wajib tayang 14 hari oleh pawagam.

Semua filem yang berjaya mencapai tahap 'box office' ditayang melalui skim itu seperti filem "Adnan Sempit" yang meraih kutipan RM7.66 juta, "Lagi-Lagi Senario" (RM6.33 juta) dan "Jangan Pandang Belakang Congkak" (RM6.09 juta), kata kenyataan itu.

Finas mengulas dakwaan Datuk Dr Che Rozmey Che Din (gambar) yang baru selesai menerbitkan filem sulungnya "Dua Alam" dan bercadang menayangkannya pada 30 Sept menerusi skim itu tetapi ditolak oleh Urus Setia Skim Wajib Tayang.

Kata kenyataan itu, tarikh yang dicadang oleh Dr Che Rozmey jatuh pada hari Sabtu sedangkan kebiasaannya pawagam akan memulakan tayangan filem baru pada hari Khamis.

"Mengikut tarikh yang disediakan oleh Urus Setia Skim Wajib Tayang, selepas filem "Cuti-Cuti Cinta" pada 21 Okt, tarikh yang sesuai (bagi menayangkan filem Dua Alam) ialah pada 4 atau 18 Nov bagi mengelak pertembungan tayangan filem tempatan," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Finas meminta Dr Che Rozmey mengemukakan permohonan baru kapada urus setia skim tersebut agar filem terbitannya dapat ditayangkan pada bulan November.

Finas sentiasa membantu penerbit filem tempatan melalui skim berkenaan agar sektor perfileman tanah air akan muncul sebagai industri yang membantu menjana pendapatan ekononi negara, kata kenyataan itu. - Bernama

Artikel Lain