suria

Peluang Menangi Televisyen LED, LCD, 100 Hadiah Menarik

PARA pelanggan pakej sukan Astro berpeluang memenangi hadiah utama, sebuah televisyen LED Sony Bravia 52”, sebuah televisyen LCD 46” dan 42” dan 100 lagi hadiah lain yang menanti mereka apabila mereka mengikuti program Tour de France 2010 di saluran Eurosport (SL 814) secara langsung bermula 3 Julai hingga 25 Julai ini.

Sebagai salah satu acara sukan yang paling banyak menggunakan tenaga fizikal, edisi ke-97 Tour de France ini mempamerkan 20 peringkat, dengan 22 pasukan terhebat antarabangsa berentap sengit untuk menghabiskan 3,642 kilometer jarak perlumbaan yang bermula di Rotterdam, Belanda dan tamat dengan menobatkan kemenangan jersi kuning atau juara keseluruhan di Paris.

Belumpun bermula, peminat sukan basikal dikejutkan oleh pengumuman Lance Armstrong, pemenang Tour de France tujuh kali yang berusia 38 tahun bahawa tahun ini merupakan penyertaan terakhir beliau dalam Tour de France melalui Twitter.

"Ini akan menjadi Tour de France saya yang terakhir. Ia telah memberikan saya suatu pengalaman yang hebat. Teruja untuk tiga minggu seterusnya," kata beliau.

Armstrong dikenali ramai apabila kegigihannya berjaya menewaskan kanser testis, bersara selepas memenangi Tour de France pada tahun 2005, kemudian kembali pada tahun 2009 sebagai kempen untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser.

Armstrong akan mengetuai Pasukan RadioShack dan semestinya mahu memenangi gelaran kelapan apabila pertandingan itu berakhir di Paris pada 25 Julai. Meskipun memiliki rekod dan pasukan yang hebat, Armstrong dijangka akan menghadapi pesaingan yang hebat daripada pelumba Astana dan pemenang dunia dari Australia, Cadel Evans, Bradley Wiggins dan Andy Schleck.

Lee Choong Khay di Astro berkata: “Walaupun, semua orang masih demam bola Piala Dunia, sebagai penyiar sukan yang utama di Malaysia, kami berusaha untuk membawakan penonton lebih banyak sukan bertaraf dunia dalam pelbagai jenis sukan. Kami bangga bekerjasama dengan Eurosport dalam membawa pertandingan yang menarik ini untuk penonton kami sebagai ganjaran mereka apabila menonton 2010 Tour de France, yang merupakan acara berbasikal yang berprestij di Eurosport.”

Dalam pada itu, Pengarah Eurosport Asia-Pasifik, Arjan Hoekstra berkata: “Perlumbaan Tour de France merupakan salah satu pertandingan sukan yang terbaik dunia dan Eurosport berbangga dapat membawa peringkat demi peringkat perlumbaan kepada pelanggan Astro. Melalui pertandingan mudah, mereka hanya perlu meneka siapa yang bakal memenangi Tour de France 2010 dan mengapa pelumba tersebut akan memenangi perlumbaan itu tidak lebih daripada 25 patah perkataan untuk memenangi hadiah-hadiah menarik.”

Untuk maklumat lanjut dan butiran penuh pertandingan ini, sila layari www.astro.com.my/astrolife.

Artikel Lain