suria

Mohamad Hadi Dan Suria Johan Bintang P.Ramlee Zon Sarawak

JUARA ... Mohamad Hadi Sapiee, 28, dan pasangannya Suria Abu Bakar, 18, bergambar bersama trofi yang mereka menangi selepas menjuarai pertandingan Bintang P.Ramlee Zon Sarawak 2010 di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching di Kuching, malam semalam. - Foto Bernama

KUCHING: Pasangan Mohamad Hadi Sapiee dan sepupunya, Suria Abu Bakar dinobatkan sebagai johan pertandingan Bintang P.Ramlee 2010 Zon Sarawak.

Mohamad Hadi, 28, yang membawa lagu solo Rindu Hati Ku Rindu serta lagu duet Ilham Tiba bersama Suria, 18, berjaya memikat hati para juri dan membawa pulang wang tunai RM4,000, piala serta sijil penyertaan.

Pasangan dari Kuching itu akan mewakili Sarawak ke pertandingan akhir peringkat kebangsaan Bintang P.Ramlee yang akan diadakan pada 20 November di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini yang bakal disertai peserta dalam dan luar negara, termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.

Mohamad Hadi berkata lagu yang dipilih oleh bapanya, Sapiee Amin, 60, yang juga peminat setia Tan Sri P.Ramlee telah membawa tuah kepadanya dalam pertandingan itu.

"Saya dan Suria akan mempergiatkan latihan vokal agar dapat membuat yang terbaik pada pertandingan akhir peringkat kebangsaan nanti. Kami berharap dapat mengangkat nama Sarawak di persada seni," katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah daripada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud malam Jumaat.

Sementara itu, pasangan suami isteri, Ibrahim Omar, 31, dan Siti Azliyani Jasini, 27, dari Sibu yang membawa lagu duet Mengapa Riang Ria dan lagu solo Berkorban Apa Saja menjadi naib johan dan membawa pulang RM3,000, piala serta sijil.

Mohamad Ali Umar, 39, bersama dan Seniah Marikan, 44, dari Kuching memenangi tempat ketiga menerusi lagu duet Hancur Badan di Kandung Tanah dan lagu solo Lanang Tunang Tak Jadi dan membawa pulang wang tunai RM1,000, piala serta sijil.

Persembahan pasangan terbaik dimenangi oleh Khairullizam Yusop, 26, dan Dayang Mohti, 38, dari Miri. Pasangan itu membawa pulang wang tunai RM1,000.

Pertandingan Bintang P.Ramlee anjuran RTM dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak yang diadakan sejak tahun 1988 bertujuan menanam minat para peminat seni suara yang berusia 18 hingga 50 tahun untuk menyanyikan lagu karya seniman agung P.Ramlee. - BERNAMA

Artikel Lain