suria

Pakistan Kaji Larangan Tayangan Filem 'Bin Laden'

Penyanyi pop Ali Zafar dari Pakistan hadir ke sidang akhbar filem Bollywood, Tere Bin Laden di Mumbai pada 21 Jun 2010. - Foto AFP
Penyanyi pop Ali Zafar dari Pakistan hadir ke sidang akhbar filem Bollywood, Tere Bin Laden di Mumbai pada 21 Jun 2010. - Foto AFP
Penyanyi pop Ali Zafar dari Pakistan hadir ke sidang akhbar filem Bollywood, Tere Bin Laden di Mumbai pada 21 Jun 2010. - Foto AFP

ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan semalam mengkaji semula keputusan untuk melarang filem komedi India yang dikatakan mempersendakan Osama Bin Laden.

Lembaga penapis filem menyifatkan filem itu adalah ancaman keselamatan serta menyinggung umat Islam.

Pihak penapis filem Pakistan melarang tayangan filem Tere Bin Laden yang sebelum ia dibenarkan untuk tayangan di pawagam seluruh negara, bulan ini.

Filem itu adalah kisah olok-olok tentang seorang wartawan Pakistan yang ingin berhijrah ke Amerika Syarikat.

Wartawan itu berharap sebuah wawancara dengan seseorang yang mirip Bin Laden boleh membantunya mendapatkan visa yang selama ini ditolak.

Penyanyi pop, Ali Zafar dari Pakistan memegang watak utama. Bagaimanapun, Lembaga Penapisan Filem berpendapat, filem itu boleh mencetuskan serangan balas dendam di sebuah negara yang menghadapi ancaman pengeboman militan Islamiah setiap minggu, jika bukan setiap hari.

Pihak penapis mendakwa filem itu mencemuh masyarakat Pakistan, telah menyinggung umat Islam, serta menggambarkan Bin Laden sebagai "pengecut dan tidak masuk akal" selain mengandungi bahasa kesat.

Sehubungan itu, ia boleh mencetuskan permusuhan di antara "unsur-unsur fanatik dan fundamentalis" di Pakistan.

Negara bersenjata nuklear itu telah berjuang untuk membendung keganasan.

Bom dan serangan yang dipersalahkan keatas Taliban dan militan berkaitan Al-Qaeda telah mengorbankan lebih daripada 3,500 orang sejak tentera kerajaan mengepung sebuah masjid radikal di Islamabad pada Julai 2007.

Bagaimanapun, penganjur filem itu merayu ke atas larangan itu kerana menganggapnya telah melanggar kebebasan berekspresi. Oleh itu, penganjur memaksa pegawai kerajaan untuk mengkaji semula keputusan tersebut.

"Saya hairan mereka melakukan ini," kata penganjur Nadeem Mandviwala.

"Ada banyak program televisyen di Pakistan yang mengkritik presiden, perdana menteri dan orang lain dengan cara yang melucukan. Masyarakat kita telah menjadi toleran."

Jumaat lalu, pegawai kerajaan menghadiri tayangan perdana untuk memutuskan sama ada mahu mengekalkan larangan ataupun dibenarkan ditayangkan, kata Abdul Sattar Khokhar yang merupakan Pemangku Pengerusi Lembaga Pusat Penapisan Filem.

Keputusan dijangka diketahui pada lewat Jumaat, katanya.

"Filem ini adalah anti-Islam dan anti-Pakistan dan terdapat ancaman keselamatan," Khokhar memberitahu AFP, dalam komentar yang menunjukkan bahawa larangan itu mungkin dipertahankan.

Pakistan mempunyai media yang secara relatif bebas. Namun, pihak berkuasa buat sementara waktu menutup YouTube dan Facebook pada Mei lalu atas isi kandungan kufur di Internet. Sambungan Internet ke bahan-bahan yang dianggap menyakitkan hati masih disekat.

Kontroversi Tere bin Laden muncul setelah sejumlah negara Teluk melarang filem Bollywood yang mendakwa menceritakan kisah sebenar di sebalik insiden keganasan di wilayah berpenduduk majoriti Muslim.

Artikel Lain