suria

Maya Karin Sah Bercerai Talak Satu

KUALA LUMPUR:Pelakon dan pengacara Maya Karin disahkan bercerai talak satu dengan suaminya Muhammad Ali Abdullah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Jumaat.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain selepas pasangan itu hadir di hadapannya.

Menurut sumber terdekat, pasangan tersebut hadir ke mahkamah secara berasingan dengan tujuan untuk bercerai.

“Saya hanya boleh mengesahkan mereka sudah bercerai," katanya ketika dihubungi mStar Online..

Perceraian itu berlaku genap sepuluh hari selepas permohonan mereka untuk mengesahkan pernikahan yang dilangsungkan di luar negara dibenarkan oleh mahkamah yang sama.

Sementara itu syarikat rakaman Maya Karin, Satu Entertainment Sdn. Bhd. melalui Pegawai Promosinya Azlin Abbas memberi kenyataan bagi pihak kedua-dua pasangan tersebut.

Dalam mesej menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar kepada media kira-kira pukul 9.30 malam, Jumaat, Maya dan Muhammad Ali membuat kenyataan bersama mengesahkan penceraian mereka.

Berikut ini disiarkan kenyataan ringkas berkenaan:

"Kami (Maya dan Muhammad Ali) pada hari ini, (16.7.2010) ingin memaklumkan telah mendapat persetujuan bersama untuk bercerai daripada mahkamah syariah.

"Keputusan kami untuk berpisah dilakukan selepas membuat banyak pertimbangan selain mencari penyesalan mendalam.

"Kami percaya keputusan ini menandakan masalah ini ditutup dan kami sangat menghargai jika privasi kami dapat dihormati tanpa sebarang spekulasi oleh pihak media pada masa hadapan," kata mereka.

Pergolakan rumah tangga Maya dan Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose sudah menjadi perbualan sejak akhir tahun lalu dan dikhabarkan mereka akan bercerai apabila hadir di mahkamah yang sama pada 24 Jun lalu.

Bagaimanapun, tekaan itu meleset kerana pada 7 Julai lalu, Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaluddin menerima permohonan mereka untuk mengesahkan perkahwinan.

Perceraian ini sekali gus menamatkan spekulasi yang mengatakan mereka tidak bahagia selepas dua tahun berumah tangga.

Pasangan itu berkahwin dalam suasana romantis pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali.

Majlis resepsi mereka diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 26 Ogos tahun yang sama.

Artikel Sebelum

Artikel Lain