suria

Julia Nekad Tuntut Cerai Daripada Badrul

PETALING JAYA: Isteri pelakon Badrul Muhayat,42, iaitu Julia Daud,29, nekad untuk bercerai dengan suaminya kerana tidak tahan dipukul selain kegagalan suaminya itu menguruskan nafkah anak.

Julia berkata, dia amat kecewa dengan sikap suaminya itu dan sudah tidak mampu lagi untuk menyembunyikan kepedihan hatinya sejak berkahwin dengan Badrul.

“Saya tetap mahu menuntut cerai dengan dia kerana sudah tidak tahan lagi dengan perangainya. Kali ini saya nekad,” katanya kepada Mstar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.

Menurut ibu kepada dua orang anak ini, dia sudah ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat, semalam, untuk membuat tuntutan cerai kerana ia merupakan jalan yang difikirkan baik bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

"Saya sudah ke pejabat agama dan nekad untuk bercerai. Kali ini saya tidak mahu mendapatkan apa-apa kaunseling lagi kerana saya benar-benar sudah serik dengan apa yang dia lakukan kepada saya dan anak kami selama ini,” katanya.

Jelas Julia dia layak untuk membuat tuntutan cerai kerana sudah tiga bulan suaminya tidak pulang ke rumah, gagal memberi nafkah anak dan sering memukulnya.

Dalam pada itu, Julia yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga bersama pelakon tersebut memberitahu terpaksa melalui kehidupan menyedihkan sepanjang mereka menjadi pasangan suami isteri.

"Selama empat tahun tidak ada apa yang membahagiakan saya selain menderita bersama dia.

"Dia tidak mahu melepaskan saya dengan cara baik sehingga membuatkan hidup saya jadi rimas dan menyusahkan. Saya juga susah hendak bekerja kerana sering diganggu," ujarnya.

Julia pada Isnin lalu sekali lagi membuat laporan polis di Balai Polis Ampang Jaya terhadap Badrul yang didakwa mengasari dan merampas wang jaminan mahkamah berjumlah RM2,500.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang itu bermula apabila Badrul menghubungi seorang wanita yang juga penjamin kesnya untuk bertanyakan wang jaminan tersebut.

Wang berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun penjamin atas perintah mahkamah sebaik mahkamah membuat keputusan kes Badrul dan Julia Isnin lalu.

Mahkamah memerintahkan Badrul membayar kompaun kepada Julia sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun difahamkan Badrul tidak berpuas hati dan meminta wang tersebut diserahkan kepadanya walaupun dihalang Julia sehingga berlaku kekasaran menyebabkan Julia terpaksa membuat laporan polis.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain