suria

Jehan Tanggung Rugi Kerana "Buta Warna"

Jehan sanggup rugi untuk dapatkan hasil berkualiti Foto The Star Oleh ALIF FARHAN BADRUL HIDZAM
Jehan sanggup rugi untuk dapatkan hasil berkualiti Foto The Star Oleh ALIF FARHAN BADRUL HIDZAM
Jehan sanggup rugi untuk dapatkan hasil berkualiti Foto The Star Oleh ALIF FARHAN BADRUL HIDZAM

SELEPAS tujuh tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Jehan Miskin (gambar) berjaya mengembangkan lagi empayar seninya dengan menjadi penerbit drama melalui syarikatnya, Mastermind Group Sdn. Bhd.

Projek pertama syarikat itu ialah menerbitkan telefilem berjudul Buta Warna.

Menurut Jehan, ini merupakan masa yang sesuai untuk memulakan langkah pertama mencuba nasib ke bidang penerbitan.

Malah dia juga sangup berhabisan demi mendapatkan hasil terbaik daripada telefilem tersebut.

"Secara jujurnya memang saya tiada pengalaman menerbitkan telefilem jadi saya akui kami mengalami kerugian sedikit kerana kos melebihi bajet yang sepatutnya.

"Tetapi itu semua memang sudah dijangka kerana peralatan yang kami gunakan melibatkan sewaan dengan jumlah yang tinggi.

"Saya tidak cerita mahu ia seperti telefilem yang biasa tetapi saya mahu hasil yang sangat memuaskan hati. Jadi untuk buah tanggan pertama, soal rugi adalah perkara kedua.

"Selain itu tempoh penggambaran juga menjadi cabaran kepada kami kerana ia mengambil masa 3 bulan untuk betul-betul sempurna," jelasnya.

Dalam pada itu, Jehan memberitahu genre komedi romantik yang diterbitkan dalam telefilem adalah berdasarkan kepada permintaan masyarakat yang gemarkan corak cerita yang santai dan ringkas.

"Saya buat cerita yang ada permintaan, kalau kita lihat penonton lebih gemar dengan drama-drama yang bercorak komedi romantik berbanding cerita-cerita yang sarat dengan mesej.

"Namun begitu visi jangka masa panjang adalah untuk menerbitkan sebuah filem seperti Avatar, tapi bukanlah dalam masa terdekat ini. Masyarakat kita masih belum menerima cerita-cerita sebegini terutamanya yang dihasilkan oleh produksi tempatan.

Ketika ditanya tentang bidang pengarahan, Jehan mengakui dia masih mentah dan belum layak untuk menjadi seorang pengarah.

"Banyak lagi yang belum saya belajar, pengarahan juga salah satu cita-cita saya tapi bukan dalam masa terdekat ini. Mungkin dalam lima atau enam tahun lagi," jelasnya.

Biarpun sudah bergelar produser, Jehan masih lagi aktif mengambil tawaran-tawaran berlakon seperti biasa.

"Saya tidak menolak tawaran-tawaran yang datang semata-mata untuk tumpukan kepada telefilem saya, bagi saya lakonan adalah cinta pertama dan saya terima tawaran seperti biasa.

"Kalau kita lihat ramai produser, pengarah seperti Afdlin, Hans Issac masih lagi terima tawaran berlakon biarpun mereka sudah ke satu tahap yang lain," jelasnya.

Telefilem ini bakal disiarkan pada 29 Julai ini menerusi saluran Astro Ria.

Ia mengisahkan seorang pemuda Melayu bernama Amri yang dilakonkan oleh Awie meminati seorang gadis Inggeris bernama Amy yang sedang bercuti di resort tempat dia bekerja.

Namun begitu Amri dan Amy masing-masing mempunyai peminat fanatik yang cuba menghancurkan rancangan Amri mendekati Amy.

Antara barisan pelakon yang terlibat adalah dalam penerbitan telefilem ini ialah Awie, Anna Lesovaya, Jihan Raja Lawak dan Jehan sendiri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain