suria

Persembahan Bertenaga Usher Malam Ini

Usher yang pertama kali berkunjung ke Malaysia menjanjikan sebuah persembahan yang akan diingati oleh peminatnya. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI
Usher yang pertama kali berkunjung ke Malaysia menjanjikan sebuah persembahan yang akan diingati oleh peminatnya. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI
Usher yang pertama kali berkunjung ke Malaysia menjanjikan sebuah persembahan yang akan diingati oleh peminatnya. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI

KUALA LUMPUR: BINTANG R&B terkenal Usher yang kini berada di ibu negara bersempena konsert sulungnya - Usher Live in Malaysia 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 8.30 malam ini menjanjikan sebuah persembahan penuh bertenaga buat peminatnya.

Bercakap pada sidang media yang diadakan Selasa, Usher berkata, dia bakal menampilkan sebuah persembahan yang pasti diingati oleh para peminatnya yang sudah 16 tahun menantikan kemunculannya di sini.

"Persembahan pada konsert itu nanti adalah berbeza dan penuh bertenaga. Ia sebagai tanda penghargaan saya kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya selama ini.

"Apa yang pasti saya akan cuba menghiburkan peminat dengan lagu-lagu dan gerak tari yang istimewa. Selain itu, beberapa rakaman video istimewa juga akan disiarkan pada malam konsert itu nanti khas untuk peminat," katanya.

Memandangkan ini adalah kunjungan pertamanya ke Malaysia dan rantau ini, Usher telah bersiap-sedia dengan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah akan terus dikenang.

"Ini adalah pertama kali saya tiba di Malaysia, sudah tentu saya akan tampilkan kelainan dan sesuatu yang berbeza pada malam konsert itu nanti.

"Saya berharap konsert itu bukan sahaja akan menghiburkan, malah mendekatkan lagi saya dengan peminat dan menjadi kenangan terindah buat semua," katanya.

Konsert yang dibawakan oleh Galaxy dan Telekom Malaysia Berhad (TM) itu bakal menyaksikan Usher tampil dengan lagu-lagu hit yang pernah menjulang namanya di seluruh dunia, selain melayakkannya memenangi anugerah Grammy sebanyak beberapa kali.

Penyanyi dan komposer yang berasal dari Chattanooga, Tennessee, Amerika Syarikat itu memulakan karier nyanyiannya pada tahun 1990-an selepas mendapat khidmat Puffy Combs selaku penerbit album. Album pertamanya iaitu Usher (1994) berjaya melonjakkan namanya sebagai bintang kontemporari soul di era 90-an.

Usher terkenal menerusi lagu-lagu hit termasuklah Nice & Slow, You Make Me Wanna, U Remind Me, U Don't Have To Call, Yeah! dan Burn yang mencatatkan jualan album mencecah jutaan unit di seluruh dunia.

Kunjungannya ke sini adalah bersempena siri promosi album keenamnya, Raymond v Raymond yang mula dipasarkan sejak Mac lalu.

Sentuhan Usher dalam album terbarunya ini mempertaruhkan lagu-lagu bergenre pop rancak/RnB seperti Papers, Hey Daddy dan OMG yang memperlihatkan sisi kematangan dalam muzik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain