suria

Zach Hampir Sakit Selepas Direndam

Zach melakonkan watak putera duyung bernama Aridinata dalam Duyong Aridinata di TV3 mulai 12 Julai ini, pukul 4.30 petang dan ulangan di TV9, pukul 8.30 malam. - Foto oleh BRIAN MOH
Zach melakonkan watak putera duyung bernama Aridinata dalam Duyong Aridinata di TV3 mulai 12 Julai ini, pukul 4.30 petang dan ulangan di TV9, pukul 8.30 malam. - Foto oleh BRIAN MOH
Zach melakonkan watak putera duyung bernama Aridinata dalam Duyong Aridinata di TV3 mulai 12 Julai ini, pukul 4.30 petang dan ulangan di TV9, pukul 8.30 malam. - Foto oleh BRIAN MOH

DEMI menjayakan watak ikan duyung yang ditangkap dan dikurung dalam air, aktor Zachery Francis terpaksa menahan kesejukannya sehingga hampir-hampir terkena hipotermia.

Hipotermia merupakan satu keadaan di mana suhu badan menurun secara mendadak daripada paras normal akibat kesejukan.

Zachery atau lebih mesra disapa Zach melakonkan watak Aridinata, putera duyung yang diberi kuasa menjelma sebagai manusia.

Menurutnya, babak tersebut betul-betul mencabar dirinya apabila dia perlu berendam selama satu jam di Pusat Akuatik Shah Alam pada pukul dua pagi.

“Saya tak tahan sejuk sehingga hampir menghidap hipotermia kerana kesejukan itu meresap sehingga ke dalam tulang. Waktu itu, saya hanya memakai jeans sahaja,” katanya kepada mStar Online ketika majlis pelancaran drama bersiri Duyong Aridinata di Ampang kelmarin.

Bercerita lagi tentang pengalaman lain sepanjang menjalani penggambaran drama arahan Adam Hamid di Pulau Lang Tengah, bekas anggota kumpulan X-Factor itu terpaksa menahan sakit setelah kulit badan di bahagian perutnya luka akibat terkena batu karang.

“Semasa menyelam mata saya menjadi kabur kerana tidak memakai penutup mata. Sebab itu kulit saya bergaris terkena tak nampak batu karang,” beritahunya sambil menunjukkan garisan putih panjang di perut.

Zach mengenakan kostum ekor duyung berwarna hijau yang ditempah khas dari Amerika Syarikat. Rambutnya juga diwarnakan dengan warna hijau dan lengannya dililit dengan rumpai laut hijau diperbuat daripada plastik.

Selain itu, drama yang akan ditayangkan mulai 12 Julai ini akan membolehkan penonton melihat pemandangan dasar laut yang indah dan bakat Zach menyelam sebagai putera duyung.

“Saya tak sangka boleh menyelam ke dalam laut sedalam tujuh meter itu. Tetapi lama-kelamaan semangat untuk menyelam semakin bertambah.

“Saya bukan sahaja dapat bertemu dengan ikan nemo dan jerung, tetapi saya juga berpeluang masuk dalam gua yang panjang dan sempit,” ceritanya.

Ada yang beranggapan, populariti Zach akan bertambah selepas drama itu ditayangkan. Bagaimanapun, Zach berkata dia tidak mengharapkan apa-apa melainkan semoga penonton gembira dengan Duyong Aridinata.

“Populariti adalah di luar jangkaan saya,” tutur jejaka kacukan Kadazan, Bidayuh dan Iban itu.

Zach yang juga mengaku sedang bercinta dengan wanita kacukan India dan Punjabi itu menganggap wajak kacaknya seperti yang diperkatakan orang hanyalah sekadar sebagai bonus.

Malah Adam Hamid berkata Zach menjadi pilihan untuk mengalas watak utama itu kerana wajahnya adalah kacukan selain kebolehan berenangnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain