suria

Presiden Karyawan Akur Keputusan Mahkamah

PRESIDEN Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan persatuan itu mengadakan satu mesyuarat agung tahunan dalam masa 60 hari dari hari ini.

Kata Freddie, beliau juga akan melantik jawatankuasa bebas untuk mengadili mesyuarat agung yang akan membincangkan tentang pemecatan beberapa ahli Karyawan.

“Kami (Karyawan) akan mengikut apa-apa perintah mahkamah dan mengadakan mesyuarat agung secepat mungkin dalam masa 60 hari ini.

“Kami juga akan berbincang dengan pihak yang satu lagi (yang dipecat) untuk melantik jawatankuasa bebas bagi membuat keputusan tentang kes ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Laporan Bernama hari ini menyebut Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memerintahkan Freddie dan ahlinya Datuk Syed Abdul Rahman Syed Mohamad Al-Habshi melantik satu jawatankuasa bebas untuk mengendalikan mesyuarat tersebut.

Peguam Mohd Zaharudeen Harun mewakili lima plaintif dan peguam S.Karthigesan mewakili Karyawan dan tiga defendan lain.

Mohd. Zaharudeen memberitahu pemberita bahawa sebelum itu hakim telah menolak bantahan awal Karyawan terhadap saman pemula yang difailkan anak guamnya berhubung pemecatan sebagai anggota Karyawan.

Pada 6 Julai tahun lalu, Syed Abdul Rahman, seniman veteran Datuk Aziz Sattar, bekas pengurus Karyawan M. Mohamed Nissar Mohamed Haneef, Nur Azian Baharin dan Salmiah Mohammad Said menfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa pindaan perlembagaan pada bahagian 6 minit mesyuarat agung tahunan kali ke-III pada 29 Mac 2002 di Musictheque, Hotel Istana adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka menamakan Karyawan sebagai defendan pertama, bekas presiden Othman Hafsham, Fernandez (ketika itu timbalan presiden) dan Pendaftar Pertubuhan sebagai defendan kedua hingga keempat.

Kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa sebarang keputusan yang dibuat Karyawan termasuk pemecatan Aziz dan M. Mohamed Nissar daripada menganggotai Karyawan, adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka juga menuntut kesemua mesyuarat agung yang diadakan oleh Karyawan selepas 29 Mac 2002 adalah tidak sah dan memohon secara alternatifnya sekiranya mahkamah membenarkan permohonan pihak plaintif ini, satu badan bertindak sementara akan dilantik di kalangan anggota Karyawan yang layak bagi tujuan mengadakan mesyuarat agung khas untuk pemilihan anggota jawatankuasa baru.

Karyawan dan defendan lain yang membantah permohonan itu pula mendakwa plaintif sepatutnya membawa tindakan itu secara semakan kehakiman di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 memandangkan tindakan saman itu dibuat kerana kesemua plaintif tidak berpuas hati dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan.

“Kita akan melihat sama ada pemecatan ini mendapat sokongan ahli atau tidak. Kalau ia mendapat sokongan ramai ahli, kita tidak akan buat apa-apa tetapi jika sebaliknya, kita akan fikirkan tentang perkara itu kemudian,” ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam afidavit jawapan yang difailkan 23 Feb lalu, Fernandez mendakwa terdapat penyalahgunaan proses mahkamah dan tindakan plantif adalah remeh-temeh, menyusahkan dan dibuat secara mala fide (berniat jahat) ke atasnya dan defendan lain.

Beliau juga mendakwa pindaan dalam perlembagaan Karyawan adalah sah dan tiada sebarang penipuan yang dilakukan oleh defendan untuk menipu Pendaftar Pertubuhan malah perkara itu telah disiasat oleh pihak pendaftar terbabit dan didapati tiada sebarang penyelewangan atau penipuan.

Freddie turut mendakwa pemecatan jawatan Aziz terpaksa dilakukan dan dipersetujui anggota jawatankuasa Karyawan kerana pelakon veteran yang banyak membintangi filem komedi bersama Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu, telah mencemar nama baik Karyawan dan pemecatan itu mengikut peruntukan dalam perlembagaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain