suria

Rayuan Hukuman Penjara Bung Moktar didengar 4 Ogos

Bung dan isterinya, Zizie tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini. - Foto THE STAR Oleh K.K. SHAM
Bung dan isterinya, Zizie tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini. - Foto THE STAR Oleh K.K. SHAM
Bung dan isterinya, Zizie tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini. - Foto THE STAR Oleh K.K. SHAM

SHAH ALAM: Rayuan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin terhadap hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran akan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 4 Ogos depan.

Tarikh itu ditetapkan oleh Ketua Pendaftar, Zainor Rashid Hassin pada prosiding sebutan di dalam kamarnya hari ini.

Peguam Amli Embong yang mewakili Bung Moktar berkata, pihaknya telah memfailkan kronologi kes dan hujahan ringkas seperti yang diarahkan mahkamah pada prosiding lepas.

“Hari ini, mahkamah memerintahkan phak-pihak yang terlibat untuk memfailkan hujahan bertulis yang akan dimulai oleh pihak perayu, iaitu kami pada 12 Julai depan.

“Pihak Pendakwa Syarie selaku responden pula akan memfailkan hujahan balas pada 19 Julai sebelum pihak-pihak berhujah di mahkamah terbuka,” katanya.

Amli menambah, pihaknya masih belum mengetahui siapa hakim syarie yang akan mendengar rayuan tersebut.

Pegawai Pendakwa Syarie, Zusyarafain Md Yusof hadir bagi pihak responden.

Pada prosiding itu, Bung Moktar, 51, hadir bersama isteri keduanya, pelakon Zizie Izette A.Samad, 32, yang mengenakan baju kurung putih berbunga merah jambu dan berselendang.

Ahli Parlimen yang terkenal dengan kelantangannya di Dewan Rakyat itu memfailkan rayuan pada 25 Mei lalu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada 19 Mei lalu.

Beliau yang sebelum itu mengaku salah berpoligami tanpa kebenaran dihukum penjara sebulan dan denda sebanyak RM1,000 yang telah pun dibayar.

Justeru itu, beliau hanya memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara.

Bung Moktar didakwa melakukan kesalahan itu dengan mengahwini pelakon Aduhai Esah itu pada pukul 8.50 malam, 16 Disember 2009 di rumah bernombor 12, Jalan TC2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati,Gombak, dekat sini.

Zizie Izette juga telah didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan Bung Moktar melakukan kesalahan tersebut.

Artikel Lain