suria

Kesihatan S. Shamsudin Kembali Stabil

PETALING JAYA: Kesihatan pelawak veteran terkenal S. Shamsudin, 81, hari ini kembali stabil setelah dilaporkan kritikal di Hospital Alexandra, Singapura semalam.

Menurut seorang wartawan bebas Rukijah Usman di Singapura, doktor memaklumkan Shamsudin kembali stabil namun tekanan darahnya kurang baik.

“Doktor menukar antibiotik untuk memulihkan tekanan darahnya. Dia juga tidak perlu dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” jelas wartawan itu kepada mStar Online.

Tambahnya, tiga rakan baik Shamsudin iaitu pelawak dan pelakon veteran tersohor Datuk Aziz Sattar, Datuk Mustapha Maarof dan Kuswadinata turun ke Singapura malam tadi semata-mata untuk menziarahinya.

Semalam, Shamsudin atau nama sebenarnya Sahamsudin Dali berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh di dari katil rumahnya pada malam Sabtu lalu.

Kejadian itu menyebabkan tulang pinggulnya retak.

Sementara itu Bernama melaporkan anak bongsu pelakon itu, Noreda kesal apabila timbul khabar angin mengatakan ayahnya telah meninggal dunia.

Khabar angin itu menyebabkan pihaknya menerima banyak panggilan telefon untuk mendapatkan pengesahan.

Sabtu lalu sahabat pelakon tersebut, Datuk Aziz Satar menziarahi Shamsudin bersama-sama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim di rumah Noreda di flat Bukit Batok, Singapura.

Dalam kunjungan itu, Rais menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Shamsudin daripada dana bantuan untuk seniman yang dikendalikan oleh kementerian berkenaan dan Finas.

S. Shamsudin adalah pelakon komedi sepanjang zaman yang seangkatan dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Dia telah berlakon lebih 30 buah filem.

Anak kelahiran Singapura itu mula berlakon pada tahun 1948 dalam filem-filem Melayu terbitan Studio Jalan Ampas dan namanya mula memuncak setelah berlakon bersama P.Ramlee dan Aziz menerusi filem Bujang Lapok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain