suria

Maya Enggan Komen, Suami Mahu Umum Cerai

SELEPAS aktres Maya Karin dan suaminya, Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali enggan memberikan sebarang komen kehadiran mereka ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur kelmarin, ramai yang mula membuat spekulasi bahawa pasangan itu akan bercerai.

Malah, dalam sebuah portal berita berbahasa Inggeris, The Malaysian Insider semalam mendakwa suami Maya mengaku dia dan isterinya akan bercerai tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Maya ketika dihubungi mStar Online menegaskan yang dia tidak akan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.

“Saya ada membaca kenyataan suami saya di portal itu tetapi walau apa pun, saya hanya boleh cakap tiada komen.

“Sebelum ini, saya dan suami sudah membuat perjanjian untuk tidak memberikan apa-apa komen. Jadi, saya tetap dengan pendirian tiada komen,” ujarnya dalam nada tenang.

Kelmarin, Maya tidak berkata “ya” mahupun "tidak" sama ada prosiding di mahkamah itu berhubung pengesahan pernikahan atau penceraian mereka.

Cuma suaminya mengesahkan dia dan Maya masih lagi suami isteri.

“No divorce (tidak bercerai),” kata Steven kepada wartawan selepas mengadakan prosiding di kamar hakim selama kira-kira dua jam.

Kekecohan mengenai krisis rumah tangga Maya mula menjadi bualan ramai sekitar Februari tahun ini. Bagaimanapun, Maya mengaku hubungan perkahwinan yang dibina selama dua tahun itu memang sedang mengalami masalah.

Dalam perkembangan lain, Maya berkata dia sedang menyibukkan diri untuk menyelesaikan penggambaran Nona sebelum memasuki penggambaran sebuah filem yang akan dilancarkan pada Isnin ini.

“Selain penggambaran Nona dan filem, saya ada beberapa penggambaran lain lagi. Saya juga sibuk dengan kes mahkamah pula,” tuturnya sambil tertawa kecil.

Sebelum ini, Maya pernah melakonkan beberapa buah filem popular seperti Pontianak Harum Sundal Malam, Anak Halal dan Duyung.

Artikel Berikut

Artikel Lain