suria

Ifa Raziah Bengang "Ditangkap Khalwat"

SELAIN insiden dipukul adik kandung sendiri, penyanyi dan pelakon Ifa Raziah turut mengalami satu kejadian lain apabila dia diserbu penguat kuasa agama ketika menginap di sebuah hotel di Changlun, Kedah bersama suaminya Mohd Yani Abdul Rahman.

Peristiwa itu berlaku ketika dia menjalani penggambaran drama berjudul Dari Kodiang ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Ifa, dia agak sedih dan kecewa pihak terlibat menyerbu biliknya dengan cara yang kurang sopan sedangkan dia tidak berkhalwat.

Menceritakan pengalaman tersebut, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, bilik Ifa tiba-tiba diketuk dengan kuat seperti hendak pecah.

Terkejut dengan ketukan itu, suami Ifa telah membuka pintu bilik kerana menyangka ada perkara lain yang berlaku tanpa mengesyaki mereka sebenarnya telah diserbu kerana disyaki melakukan maksiat.

Katanya, sewaktu pintu dibuka pihak berkenaan telah menolak suaminya dengan kasar tanpa memberi salam.

“Untuk mengesahkan kami sudah berkahwin, suami saya menunjukkan kad perakuan nikah sebagai bukti kami tidak berkhalwat.

“Malangnya pihak terbabit bertindak kasar sehinggalah berlaku pertelagahan dengan suami saya,” kata Ifa seperti yang dilaporkan akhbar Mingguan mStar, Ahad lepas.

Lebih daripada itu, menurut Ifa, ada di antara pegawai terbabit mengeluarkan kata-kata kesat yang sepatutnya tidak berlaku apatah lagi peristiwa itu terjadi kepada individu yang tidak bersalah.

Antara ayat yang menyakitkan hati dia disindir dengan kata-kata ‘kau ingat kau artis besar sangat?’

“Saya tak marah jika mereka melakukan serbuan dengan menggunakan prosedur yang betul tetapi janganlah menyerbu sesuka hati serta bercakap dengan kata-kata yang kurang sopan.

“Dia orang seperti pandang rendah kepada saya dan lebih menyakitkan hati mereka langsung tidak menunjukkan rasa bersalah dan minta maaf pun kepada kami,” ujarnya kesal.

Ifa yang sudah enam tahun mendirikan rumah tangga bersama Mohd. Yani mempunyai dua cahaya mata turut memberitahu pengalaman tersebut memberi imej buruk kepadanya.

Bagaimanapun dia tidak berhasrat untuk membuat laporan polis kerana tidak mahu perkara remeh itu terus berpanjangan.

Cuma ujar Ifa, pihak berkenaan sepatutnya menyiasat terlebih dahulu dan janganlah mudah melabelkan seseorang artis itu sebagai jahat.

Lebih memalukan kejadian pada malam itu menyebabkan berlakunya kekecohan sehingga menyebabkan penghuni hotel lain turut terganggu.

“Bukan bilik saya sahaja malah dua bilik artis lain yang disewa atas nama suami saya turut diserbu.

Tapi yang hairannya jika serbuan untuk mencegah maksiat, kenapa bilik kami sahaja yang diperiksa?” katanya kesal.

Ifa bagaimanapun berharap pihak berkenaan harus berfikir panjang sebelum membuat sesuatu tindakan. Ini kerana perbuatan itu menyebabkan masyarakat akan hilang hormat apatah lagi kepada agensi yang diberi peranan menjalankan tanggungjawab dengan berhemah.

* Akhbar Mingguan mStar diterbitkan setiap Ahad bersama The Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain