suria

Saya Tiada Nombor Telefon Jejai - Tiz

Tiz berkata, salam persahabatan yang ingin dihulurkan kepada orang mungkin disalahertikan oleh sesetengah pihak. - Foto THE STAR Oleh RAYMOND OOI
Tiz berkata, salam persahabatan yang ingin dihulurkan kepada orang mungkin disalahertikan oleh sesetengah pihak. - Foto THE STAR Oleh RAYMOND OOI
Tiz berkata, salam persahabatan yang ingin dihulurkan kepada orang mungkin disalahertikan oleh sesetengah pihak. - Foto THE STAR Oleh RAYMOND OOI

SELEPAS mencetuskan fenomena dalam drama siri Nur Kasih, pelakon utamanya Tiz Zakiah tidak henti-henti dihimpit pelbagai kontroversi.

Terbaru dia didakwa sebagai cuba merampas kekasih rakan baiknya pelakon Fasha Sanda.

Ketika ditemui di majlis doa selamat filem Nur Kasih kelmarin, Tiz memberitahu bahawa perkara tersebut tidak benar sama sekali dan menafikan mengenali teman lelaki Fasha iaitu Jejai atau nama sebenarnya, Rizal Ashram Ramli secara rapat.

“Saya terkejut apabila menerima berita ini daripada kawan-kawan dan keluarga dan tidak tahu menahu tentang perkara itu. Secara jujur saya tidak kenal teman lelaki Fasha secara dekat malah saya tidak mempunyai nombor telefon Jejai.

“Memang kami pernah keluar beramai-ramai beberapa kali tapi ketika itu mereka berpasangan. Lagipun tiada sebab kenapa saya telefon dia pada pukul 3 hingga 4 pagi seperti yang dikatakan.

“Bagi saya perkara tersebut tiada kena mengena dengan saya dan masyarakat tidak salah anggap tentang hal ini. Saya tidak tahu siapa yang cuba dimaksudkan Fasha dalam hal ini.” jelasnya.

Fasha yang meluahkan perasaannya di laman web Twitter miliknya bagaimanapun tidak memberitahu nama perempuan yang cuba menganggu kekasihnya.

Namun ciri-ciri yang dinyatakan oleh Fasha lebih menjurus kepada pelakon yang sedang meningkat naik ini.

Selain itu Tiz yang mahu perkara ini tidak dibesar-besarkan lagi, lebih senang mengambil jalan mudah dengan berdiam diri.

“Saya tidak menghubungi Fasha lagi setakat ini kerana malas untuk membesarkan hal remeh temeh ini. Saya malas nak ambil kisah perkara ini.

“Lebih baik saya move on dan terus fokus dalam bidang lakonan terlebih dahulu,” jelasnya yang turut mengakui tertekan pada awalnya ketika menerima berita ini.

Menurutnya salam persahabatan yang ingin dihulurkan kepada orang mungkin disalahertikan oleh sesetengah pihak.

“Mungkin cara saya untuk berkawan dengan semua orang disalah erti oleh pihak lain dan apabila timbul cerita-cerita seperti ini saya akan jadikan pengajaran supaya lebih berhati-hati memilih kawan,” katanya.

Ketika ditanya tentang kenyataan Fasha yang turut mengaitkan seorang lagi pelakon drama Nur Kasih, Fizz Fairuz, Tiz turut menafikannya.

“Bukan saya sahaja terkejut dengan cerita ini malah Fizz turut terkejut, mengapa dia mengaitkan perkara tersebut dengan orang lain.

“Saya memang rapat dengan Fizz sebab kami berlakon dalam cerita itu bersama malah kami juga ada lepak minum sekali namun tidak sampai mengganggu hubungan dia dengan Almy,” jelasnya sambil tersenyum.

Dalam pada itu Tizz turut mengingatkan Fasha agar tidak terus melemparkan sebarang tuduhan tidak berasas yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti orang lain.

“Saya tidak ambil apa-apa tindakan kerana saya rasa perkara ini kecil dan tidak merosakan kerjaya saya tetapi jika ia berterusan selepas ini sehingga menganggu perjalanan lakonan saya saya akan fikirkannya,” kata Tiz.

Selain itu, pelakon yang memegang watak Nur Amina dalam drama tersebut turut mengakui penat melayan gosip sejak mula popular dengan drama tersebut.

“ Saya tak tahu kenapa sejak dikenali banyak gosip buruk tentang saya muncul, memang penat melayannya tapi saya kena terima hakikatnya sebagai artis.

“Pada saya gosip ini membuat orang berfikir tentang karakter seseorang iaitu bagaimana dia di dalam drama dan ketika di luar,” katanya yang bakal menjalani penggambaran filem Nur Kasih bermula 20 Jun ini.

Filem yang bakal menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Jordan dan Kuala Selangor ini masih diarahkan oleh pengarah terkenal Khabir Bahtiar dan dijangka akan ditayangkan pada akhir tahun hadapan.

Artikel Berikut

Artikel Lain