suria

Kekasih Rozita Che Wan Seperti Akshay Kumar?

SEJAK aktres jelita Rozita Che Wan mengaku telah bertemu dengan lelaki idamannya, ramai yang ingin mengetahui siapa lelaki bertuah itu.

Setakat ini, pelakon drama 13 episod Kiah Pekasam itu masih merahsiakan banyak perkara tentang lelaki berusia 34 tahun itu.

Ini kerana dia bimbang sekiranya cinta yang baru berputik beberapa bulan lalu itu putus di tengah jalan.

Khabarnya wajah lelaki yang berjaya menawan hati ibu kepada dua anak itu mirip-mirip pelakon hindustan Akshay Kumar.

Namun, wanita berusia 37 tahun itu hanya tergelak kecil saat diaju tentang soalan itu. Walaupun begitu, dia tidak menafikan dakwaan itu.

Nampaknya, bertuah sungguh Rozita jika bergelar isteri kepada lelaki itu kerana dia bukan sahaja kacak, malah masih bujang.

Walaupun saling mengenali sejak empat tahun lalu, mereka berdua masih belum membuat keputusan untuk berkahwin.

“Kalau nak tahu siapa dia, kena tunggu sehingga saya bersara dari dunia lakonan pada tahun depan,” katanya ramah.

Rozita pernah berkata, dia akan berhenti daripada berlakon setelah mendirikan rumah tangga kelak.

Wajah Rozita kini semakin kerap muncul di kaca televisyen. Terbaru, drama rantaian Kiah Pekasam dan Aku Terima Nikahnya sedang disiarkan di Astro Warna dan Astro Oasis.

Menyentuh tentang perkembangan lakonannya, Rozita baru selesai menjalani penggambaran telefilem Subjek yang turut dilakonkan oleh Rusdi Ramli.

Subjek akan ditayangkan sempena sambutan Hari Bapa yang jatuh pada 20 Jun ini. Ceritanya mengisahkan tentang Liza (Rozita), seorang pensyarah yang lebih tegas daripada suaminya yang bekerja sebagai cikgu.

Liza berkeras mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah di United Kingdom sehingga memaksa suaminya memberikan keizinan. Namun setelah berjauhan daripada suaminya, baru perasaan rindu menyerbu di dada.

“Telefilem Subjek mengisahkan tentang pengorbanan seorang bapa yang akan disiarkan di RTM2 pada bulan ini,” ujar Rozita yang bergandingan buat kali kedua dengan Rusdi.

Bercerita tentang pengalamannya ketika berlakon dengan anak seniwati Norlia Ghani itu, Rozita akui seronok apabila diberikan peluang kedua selepas mereka berlakon bersama-sama dalam drama rantaian Ai Di Beijing.

“Kami berdua asyik ketawa sahaja ketika berlakon bersama-sama. Tahu sahajalah, Rusdi susah hendak berhenti ketawa. Jadi, kami tak boleh nak berlakon bila dia sudah mula ketawa.

“Dia bukan sahaja kelakar malah sopan dan merendah diri. Kami lebih banyak melakonkan babak pergaduhan,” ceritanya mengenai telefilem arahan Azmi Hatta itu.

Jadual lakonan Rozita dijangka penuh sehingga Julai depan. Katanya, telefilem Kuih Goyang Seha yang ditayangkan menjelang Hari Raya Puasa tahun lalu akan dilanjutkan kepada drama 13 episod.

Selain itu, dia juga akan terlibat dengan penggambaran drama Kiah Pekasam Special Raya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain