suria

Shahir Ingin Jadi Seperti Faizal Tahir

JIKA dikaji peringkat awal kerjaya seni kedua-dua penyanyi Faizal Tahir dan juara AF8 Ahmad Shahir Zawawi (gambar), mereka sebenarnya bermula dari kumpulan nasyid.

Faizal terlibat dalam kumpulan nasyid Mirwana manakala Shahir pula dengan Saujana.

Maka, tidak mustahil sekiranya Shahir ingin mencontohi jejak langkah Faizal yang telah melakar kejayaan demi kejayaan dalam industri seni hiburan.

"Tidak salah kita mencuba kepada genre berbeza.. macam Faizal Tahir. Saya kira sebenarnya saya tidaklah berubah dari genre nasyid ke genre rock.

"Ini kerana saya tidak terikat dengan mana-mana kumpulan. Sebenarnya saya gantikan ahli asal yang mungkin sibuk dengan kerjaya mereka pada tahun 2006," kata Shahir kepada mStar Online baru-baru ini.

Saujana dianggotai Aza (Azalinor Abdul Rahman), Idzu (Khairul Idzwan Baharin), Kimi (Mohd Hakimi Haji Harun), Ley (Faizul Hizal Ghazali) dan Pyan (Mohd Suffian Amrin) pada tahun 2005.

Kemudian, Najer (Wan Najran Wan Mohd Noh) dan Shahir diserap masuk ke kumpulan tersebut yang telah menghasilkan lima album dengan satu album karaoke.

Ia juga terlibat dalam lebih sepuluh album kompilasi bersama artis-artis terkenal di Malaysia.

Antara albumnya, Saujana (1996), Saujana II (1998), Kembara Cinta (2000), Rahsia (2002), 5 Bintang (2004) dan Jalan Sehala (2005) bersama Nowseeheart.

Ketika ditanya sama ada lagu nasyid bukan pilihannya lagi ekoran pembawaan muzik bergenre rock buat masa ini, Shahir menafikannya.

Dia tetap gemar membawa lagu nasyid kerana mesej yang cuba disampaikan adalah positif.

"Mesej sesebuah lagu seharusnya menghormati seseorang dan tidak mengaibkan imej orang lain," katanya.

Tambahnya, lagu rock Ramli Sarip turut membawa mesej yang baik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain