suria

Klip Video ‘Comor Cat’ UiTM Juara Pertandingan Pembikinan Video Muzik ATT

Lan (tengah) bersama pemenang dari UiTM, Shah Alam di Laundry, The Curve, semalam. - Foto oleh SAM THAM
Lan (tengah) bersama pemenang dari UiTM, Shah Alam di Laundry, The Curve, semalam. - Foto oleh SAM THAM
Lan (tengah) bersama pemenang dari UiTM, Shah Alam di Laundry, The Curve, semalam. - Foto oleh SAM THAM

SELEPAS dua bulan pertandingan Pembikinan Video Muzik (MOV) untuk lagu Gerak Hati nyanyian Azlan & The Typewriter (ATT) anjuran Satu Entertainment Sdn Bhd dan U.O.X. (University Of X - Celcom) diadakan, para pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dinobatkan sebagai pemenang.

Mereka yang terdiri daripada Ishak Ismail, 27, yang belajar Reka Bentuk Grafik, Ahmad Afif Zulkepli, 23, (Reka Bentuk Fesyen) dan Ahmad Hamzah Ramly, 24, (Seni Halus) berjaya memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.

Kemenangan itu sekaligus menewaskan dua kumpulan lain iaitu para pelajar dari Universiti Multimedia Malaysia dan Kolej Segi.

Menariknya, klip video muzik yang mencomorkan cat ke muka dan tubuh Lan itu menggambarkan penyanyi itu sebagai pelukis seni halus yang cuba mengekspresikan dirinya menerusi lukisan.

Ketika ditemui, Lan begitu berpuas hati dengan hasil yang diberikan oleh para pelajar dari UiTM itu sekaligus melancarkan video muzik Gerak Hati yang boleh ditonton menerusi kaca televisyen dalam masa terdekat ini.

“Saya rasa pelajar dari UiTM memang layak untuk memenangi pertandingan ini kerana mereka telah menghasilkan video muzik yang berkualiti dengan idea baru yang bagus.

“Selain ATT, pihak Celcom, Mdec dan beberapa pihak lain turut bekerjasama memilih video muzik itu.

“Saya juga merancang untuk memasukkan video muzik Gerak Hati ini dalam album Peta Minda volum 2 nanti,” katanya kepada mStar Online di Laundry, The Curve semalam.

Pertandingan yang terbuka kepada para pelajar pengajian tinggi itu telah menarik hampir 70 penyertaan. Video-video muzik yang dihasilkan oleh mereka adalah berlainan mengikut kreativiti masing-masing.

Pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh para peserta untuk menyiapkan video muzik itu. Ada yang menyiapkannya dalam tempoh yang singkat dan ada juga yang sedang menghadapi peperiksaan. Sementara itu, Xfm, Red Communications dan Astro Entertainment Sdn Bhd juga memberikan kerjasama dan sokongan terhadap penganjuran MOV itu.

Kata Lan, dua kumpulan yang gagal itu hanya membawa pulang sijil penghargaan daripada pihak penganjur.

Pertandingan MOV seperti itu akan dianjurkan dari semasa ke semasa bergantung kepada kehendak pasaran dan juga seseorang penyanyi itu. Hanya layari www.fuseasia.com/mov untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan itu.

Dalam perkembangan lain, EP Peta Minda volum 1 ATT telah berada di pasaran pada harga RM15. Lan merasakan harga itu bersesuaian dengan menyasarkan pembeli yang terdiri daripada kalangan pelajar.

EP yang memuatkan lima lagu itu boleh didapati di gig-gig yang dijayakan oleh ATT.

Selain itu, dia juga akan terlibat dengan projek album API bersama lima band lain iaitu Pop Shuvit, Estranged, Hujan, One Buck Shot dan Monoloque Butterfingers. Setakat ini, mereka telah menghasilkan sebuah lagu berjudul Pelita yang dipilih sebagai lagu tema filem Hooperz.

Lagu tersebut begitu mendapat sambutan hangat di kalangan penggemar muzik dan sering kali diputarkan di corong radio.

Artikel Sebelum

Artikel Lain