suria

Hadiah Hari Jadi Ke-31 Paling Bermakna- Wardina

AKTRES dan pengacara popular Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot memilih tarikh hari jadinya yang jatuh pada 5 Jun ini untuk melancarkan dua buah bukunya iaitu Mama Saya Lapar dan Siapa Alien di kedai buku MPH, Mid Valley pukul 3 petang.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, dia sengaja memilih tarikh istimewa itu kerana pada tarikh itu dia bukan sahaja meraikan ulang tahun kelahirannya malah turut melancarkan dua bukunya.

“Kiranya majlis pelancaran buku ini adalah hadiah hari jadi yang ke-31 paling bermakna buat saya. Semasa majlis itu, saya juga mengadakan sesi autograf dan beramah mesra dengan peminat,” katanya menerusi emel yang dihantar kepada mStar Online.

Buku Mama Saya Lapar adalah panduan buat semua ibu mengenai pengalaman pemakanan berkhasiat untuk anak-anak.

“Bagaimana kalau anak-anak cerewet memilih makanan, nak bagi anak makan sayur, penyusuan susu ibu, apa nak buat bila anak sakit dan disertakan resipi menarik.

“Memang best, ikhlas dari hati dan berinformasi. Buku ini juga dilengkapi dengan nasihat dari pakar.

“Saya memang suka berkongsi pengalaman dan cerita serta mahu memberi sesuatu yang berguna buat peminat dan rakyat Malaysia. Jadi, produk yang ingin saya kongsikan bersama ialah tak lain tak bukan iaitu buku,” ujarnya lagi.

Buku kedua berjudul Siapa Alien merupakan buku cerita kanak-kanak yang diilustrasikan oleh Raja Pensel Warna Uneh.

“Siapa Alien menyentuh tentang Alien yang bernama Ali, bagaimana ia turun ke bumi dan berjumpa dengan satu lagi Alien yang sebenarnya adalah seorang manusia!

“Siapa Alien sebenarnya. Pengajarannya janganlah kita memandang seorang yang tidak sama dengan kita sebagai aneh dan pelik.

“Saya juga menyertakan panduan dan info mengenai perkembangan minda. Saya menyintai kanak-kanak dan buku!,” tambahnya.

Wardina berharap anak-anak Malaysia akan gemar membaca dan menggemari buku-bukunya itu. Insya-Allah…

Artikel Sebelum

Artikel Lain