suria

‘Selamat Tinggal’ Buah Tangan Untuk Peminat Raja Lawak

Michael Simon.
Michael Simon.
Michael Simon.

KOMPOSER, penulis lirik, penerbit eksekutif dan pengarah Michael Simon enggan mengambil masa yang lama untuk menunggu lagu Selamat Tinggal, lagu tema penyingkiran peserta Raja Lawak disiarkan di corong radio.

Puas dia meminta pihak stesen radio tempatan agar menyiarkan lagu tersebut namun jawapan yang diterimanya amatlah mengecewakan.

Atas permintaan ramai peminat, dia memilih untuk memuat naik lagu tersebut secara percuma di laman webnya iaitu homegrownspace.com.my.

“Walaupun saya merupakan komposer lagu itu sepenuhnya, tetapi saya membikinnya bukan kerana duit. Jadi, sebab itu saya tidak kisah untuk memberikan secara percuma kepada pendengar.

“Saya rasa lagu itu mempunyai potensi untuk mendapat tempat di hati pendengar. Sebab itu saya rasa sangat kecewa apabila ada sesetengah stesen radio yang enggan memutarkan lagu itu.

“Saya buat lagu itu untuk orang dengar. Jadi, sebab itu saya muat naikkan lagu itu secara percuma di laman web saya. Sekurang-kurangnya orang ramai dapat mendengar lagu itu,” katanya kepada mStar Online semalam.

Michael bukanlah calang-calang komposer kerana dia mempunyai pengalaman menulis lebih 16 lagu dan kebanyakan lagu yang digubah sebelum ini tidak pernah dikeudarakan di radio.

“Sebelum ini saya lebih fokuskan lagu untuk komersial di stesen televisyen. Lagu Selamat Tinggal merupakan lagu pertama yang saya keudarakan di radio.

“Saya terfikir untuk hantar ke stesen radio memandangkan ramai peminat Raja Lawak yang bertanyakan cara untuk mendengar lagu itu,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia berasa gembira apabila baru mendapat tahu stesen radio Era FM telah memutarkan lagu itu untuk para pendengar.

“Baguslah kalau lagu itu sudah diputarkan di radio. Tetapi saya berharap stesen radio lain turut memberikan peluang untuk memutarkan lagu itu,” katanya yang sedang dalam perancangan untuk menerbitkan Raja Lawak musim kelima pada tahun depan.

Michael mendapat inspirasi untuk menghasilkan lagu itu apabila seorang rakan sekerjanya kehilangan salah seorang ahli keluarganya yang terlibat dalam sebuah kemalangan.

Artikel Berikut

Artikel Lain