suria

Mimpi Jzelynn Jadi Realiti

Jzelynn berharap kemunculan kali kedua diterima masyarakat terutamanya kaum Melayu. - Foto oleh CHUA KOK HWA
Jzelynn berharap kemunculan kali kedua diterima masyarakat terutamanya kaum Melayu. - Foto oleh CHUA KOK HWA
Jzelynn berharap kemunculan kali kedua diterima masyarakat terutamanya kaum Melayu. - Foto oleh CHUA KOK HWA

PERJALANAN kerjaya penyanyi kecil molek, Jzelynn atau nama penuh Jenice’ Zelynn, bukan semudah seperti disangkakan ketika awal pembabitanya 15 tahun lalu.

Berbagai onak dan dugaan yang terpaksa ditempuhi dalam mengejar cita-citanya menjadi seorang penyanyi, lagi pula untuk berdiri ditengah-tengah pasaran lagu-lagu Melayu.

Minat yang mendalam dalam bidang nyanyian dan fasih berbahasa Melayu menjadi bekalan kepada anak jati Pulau Pinang ini untuk mencuba dan terus mencuba.

"Saya masuk ke bidang nyanyian sejak berusia 13 tahun lagi, banyak pertandingan yang telah saya ceburi terutamanya pertandingan lagu-lagu berbahasa Melayu.

"Saya fasih berbahasa Melayu kerana saya bersekolah di sekolah kebangsaan dan bercampur dikalangan orang-orang Melayu, sehinggakan saya sendiri merasai bahawa diri ini sebahagian dari kaum Melayu," jelasnya.

Biarpun lambat mencipta nama berbanding rakan seangkatannya ketika sama-sama menyertai Bintang RTM dan Sinaran Pasport Kegemilangan, Jezlynn tidak berputus asa.

"Saya sedar bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan produser untuk menerbitkan album saya, ditambah dengan keadaan industri muzik sekarang," katanya.

Menurutnya, dia terpaksa bekerja keras untuk mengumpul modal bagi menerbitkan album sendiri. Pada tahun 1999 dia pernah dijanjikan merakam album namun setelah proses rakaman itu selesai, album tersebut tidak dipasarkan dengan alasan pasaran bagi bukan Melayu sukar diterima.

"Saya putus harap dan pulang ke Pulau Pinang dan menyambung pelajaran di sebuah Kolej sehingga mendapat segulung Ijazah. Mungkin ada hikmahnya terhadap apa yang berlaku, jika dulu saya sibuk menyanyi mungkin pelajaran saya terabai," katanya.

Album pertama Jzelynn siap sepenuhnya tahun lalu berjudul Percayalah. Walaupun dikeluarkan dalam bentuk digital, album tersebut berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records dan Best Digital Album di Voize Independent Music Awards 2010.

Menurut Jzelynn, dia kini sedang mencari material bagi melengkapi album keduanya yang direncanakan bakal keluar pada penghujung tahun ini.

"Kali ini saya akan menulis sendiri lirik lirik lagu yang akan dimuatkan dalam album baru ini. Saya mahu album kedua ini lebih istimewa kerana ada sentuhan dari saya sendiri," katanya.

Katanya, ramai peminat-peminat di Facebook dan laman webnya memberi maklum balas positif dan galakkan untuk dia cipta lirik-lirik lagu sendiri.

"Selalunya lirik-lirik tersebut ada yang menyentuh tentang kehidupan seharian kita, jika bukan saya sekalipun ia terkena pada orang lain," jelasnya.

Dalam pada itu, Jzelynn berharap kemunculan kali kedua diterima masyarakat terutamanya kaum Melayu.

"Mungkin saya pernah mengalah dahulu tapi tidak kali ini. Saya akan cuba dan terus mencuba memenangi hati masyarakat Melayu di sini," jelasnya dengan penuh harapan.

Artikel Lain