suria

'Melodi Cinta' Rossa Kian Bergetar

Rossa tidak dapat sembunyikan debaran di hati menjelang Konsert Melodi Cinta tanggal 29 Mei ini. - Foto oleh AZMAN GHANI
Rossa tidak dapat sembunyikan debaran di hati menjelang Konsert Melodi Cinta tanggal 29 Mei ini. - Foto oleh AZMAN GHANI
Rossa tidak dapat sembunyikan debaran di hati menjelang Konsert Melodi Cinta tanggal 29 Mei ini. - Foto oleh AZMAN GHANI

KURANG dua minggu saja menjelang konsert sulung penyanyi pop terkenal dari seberang, Rossa di Stadium Putra, Bukit Jalil akan berlangsung.

Detik yang terus menghampiri tarikh keramat 29 Mei 2010, pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani itu tidak dapat menyembunyikan debaran di hati menjelang Konsert Melodi Cinta (KMC) yang penuh bermakna.

"Memang saya gementar menjelang konsert nanti. Walaupun semua persiapan berjalan dengan baik, namun sebagai penghibur tentu sekali saya berdebar untuk malam penting itu.

"Konsert ini menjadi satu kenyataan berkat sokongan pelbagai pihak. Jadi, saya harap dapat menampilkan sebuah persembahan yang paling indah dan terbaik untuk semua," luahnya.

Umum mengetahui, penyanyi genit itu bukan lagi asing di pentas persembahan di sini. Baik showcase mahupun pelbagai persembahan dari istana hinggalah ke badan-badan korporat, jenama Rossa sudah lazim dengan jiwa peminat-peminat Malaysia.

"Konsert ini bermakna kerana ia sebuah persembahan berskala besar dan serius. Dengan iringan 40 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Yovie Widyanto, selain Jay Subyakto selaku Pengarah Persembahan, sudah tentu konsert ini sangat istimewa.

"Malah, saya juga akan menyampaikan kira-kira 20 lagu daripada album pertama hinggalah terkini. Ia akan merangkumi seleksi lagu-lagu penuh dan medley. Yang pasti, ia bukan persembahan biasa kerana ada kejutan yang akan ditampilkan," katanya.

Tambah Rossa, kapasiti KMC bukan sahaja besar pada muzik, orkestra dan pentasnya, malah sebagai penyanyi dia juga menjanjikan 20 penampilan yang berbeza sepanjang durasi 2 jam konsert berlangsung.

"Bukan sahaja lagu-lagu dan persembahan harus berbeza dan istimewa, malah penampilan dan pakaian juga pasti berlainan. Maklumlah, ini konsert pertama saya di sini, jadi harus tampilkan sesuatu yang boleh meninggalkan impak kepada semua," katanya.

Katanya, dia akan muncul dengan 20 penampilan berbeza. Namun, imej dan baju akan disesuaikan mengikut garis panduan dan polisi yang ditetapkan.

"Sebagai penghibur, saya harus menghormati budaya dan polisi di Malaysia, tidak boleh tampil terlalu seksi," ujarnya yang sanggup berhabis hingga lebih RM100,000 untuk pakaian di malam itu nanti.

Rossa turut sempat menyelitkan, KMC bukan sekadar sebuah konsert berpaksikan bisnes, sebaliknya ia punya sentuhan dan nilai peribadi buatnya.

"Konsert ini bukan hanya untuk bisnes dan keuntungan semata-mata. Apa yang lebih penting, ia turut menyaksikan persembahan kumpulan Ungu, ST12 dan Aizat.

"Ia akan menghimpunkan sahabat seni saya bagi sama-sama mewarnai malam itu nanti. Sebab itu saya menyifatkan ia sebagai sebuah konsert yang punya nilai peribadi," katanya lagi.

Selain itu, konsert yang dinaungi isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor itu juga akan mementaskan 50 ahli Permata Seni serta 20 kanak-kanak daripada kumpulan Tunas Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Tiket berharga RM50, RM100, RM150, RM200, RM250, RM300 dan RM350 dimaklumkan sudah terjual lebih 47 peratus. Peminat boleh hubungi talian 03-77115000 atau layari laman web www.axcess.com.my untuk maklumat lanjut.

Artikel Lain