suria

Menonton Pengembaraan Qi di Internet

Orang ramai boleh menonton Qi bersiar-siar menerusi Internet. - Foto THE STAR Oleh RICKY LAI
Orang ramai boleh menonton Qi bersiar-siar menerusi Internet. - Foto THE STAR Oleh RICKY LAI
Orang ramai boleh menonton Qi bersiar-siar menerusi Internet. - Foto THE STAR Oleh RICKY LAI

SELAMA dua musim berturut-turut, Qi pernah membawa penonton bercuti ke destinasi-destinasi menarik di sekitar Malaysia berbekalkan RM300 menerusi program Destinasi Bajet yang ditayangkan di saluran 8TV, Astro Ria dan TV3.

Ternyata, Qi (yang dipanggil Chi) sangat beruntung kerana diberi kepercayaan bekerja sambil melancong oleh Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) secara percuma, satu tugas dan pekerjaan bergaya santai.

Jika tuah ayam nampak di kaki, tuah Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 32, terpancar di kaca televisyen apabila program tersebut mendapat sambutan hebat daripada penonton.

Rezeki dan karakter unik yang dimiliki pemuda ini barangkali, tahun ini Qi sekali lagi ditawarkan peluang kerja oleh MAS untuk mengendalikan program berkonsep sama yang diberi nama Destinasi Bajet, Jom MAS!

Tugasnya Qi masih sama, iaitu mengajak penonton mengembara dengan bajet minimum tetapi selesa, tanpa menutup peluang membeli-belah dan membawa pulang ole-ole.

Dalam talian

Cuma, kali ini rancangan ini hanya dapat di tonton secara dalam talian dengan menaip MAStraveller.com pada papan kekunci, bukan lagi di layar kaca.

Kali ini juga, Qi perlu membawa penonton terbang ke negara Asia pula berbekalkan RM700.

Namun Qi tetap dengan karakter selambanya! Walau wajah tidak lagi menghiasi kaca TV, dia melihat pembaharuan ini seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat hari ini yang banyak terdedah kepada dunia IT.

"Muka tak masuk TV pun tak apa, yang penting masyarakat mendapat manfaat menonton rancangan ini sebab matlamat program ini untuk menggalakkan masyarakat bercuti.

"Kalau di TV, mereka cuma dapat menonton sekali, di internet mereka boleh menonton berulang kali pada bila-bila masa yang mereka suka.

"Lagipun, sekarang ramai yang suka mengadap komputer berbanding TV. Kalau mahu bercuti mereka pasti melayari internet untuk cari info. Malah, tiket kapal terbang pun dibeli secara 'online'," kata Qi, yakin.

Benar apa yang diucap dek pemuda kacukan Melayu-India-Cina ini. Episod kembara yang dikemudikan Qi bersama Cheryl Samad itu dilihat sebagai program unik, interaktif dan praktikal khususnya buat mereka, 'kaki jalan'.

Selain menawarkan 13 episod penjelajahan ke destinasi berbeza, laman web tersebut turut memuatkan info, peraduan dan tip-tip pelancongan berguna yang sentiasa dikemas kini.

Destinasi yang dipilih ialah Kuala Lumpur, Bangkok, Pulau Pinang, Singapura, Ho Chi Minh, Hanoi, Jakarta/Bandung, Jogjakarta, Manila, Terengganu, Kuching, Kota Kinabalu dan Phnom Penh.

"Saya menjelajah ke lapan destinasi dan selebihnya Cheryl yang pergi. Memang penat sebab penggambaran dilakukan setiap minggu, tapi saya gembira. Inilah peluang saya melihat negara orang," katanya.

Menyedari tugas seperti itu menjadi idaman ramai kerana dia dapat melancong secara percuma, Qi amat bersyukur dan menerima tawaran itu sebagai cabaran untuk diri sendiri.

"Saya pergi uji bakat macam biasa. Mungkin rezeki saya dalam program berbentuk pelancongan dan saya diterima.

"Kerja saya nampak seronok, tapi tak semudah disangka. Saya perlu tarik perhatian penonton dan yakinkan mereka wang belanja tujuh ratus ringgit membolehkan mereka melancong ke negara Asia.

"Idea dan percakapan pula spontan sebab program ini tak ada skrip. Saya cuma diberi fakta. Mujur pengarah dan jurugambar banyak membantu," katanya yang bekerja dengan seorang jurugambar dan seorang pengarah merangkap produser.

Duit banyak tak semestinya seronok

Singgah tiga hari dua malam di setiap destinasi, Qi banyak memberi panduan berguna kepada penonton dari segi pemilihan hotel, destinasi lawatan, tempat makan, kenderaan dan sebagainya.

Berbicara tentang bekalan RM700, Qi berkata ianya cukup untuk percutian bajet. Malah, ketika di Cambodia, wang yang dibawa masih mempunyai baki.

Selepas tiga bulan penggambaran, Qi secara peribadi memilih Vietnam dan Jogjakarta sebagai destinasi kegemarannya.

Apa yang pasti, rancangan ini bukan sekadar membantu mereka yang bakal bercuti, tetapi turut mempengaruhi kehidupan dan cara Qi berfikir.

"Dunia ini terlalu besar dan setiap negara ada keunikannya. Banyak yang saya belajar. Mengembara membuatkan saya bersyukur dan menghargai negara sendiri. Saya dapat menilai tentang kehidupan masyarakat luar. Di Vietnam misalnya, saya kagum melihat semangat dan kegigihan penduduknya mencari rezeki," katanya.

Antara pengalaman yang tidak dapat Qi lupakan ialah menikmati kopi arang di Jogjakarta dan menikmati sup tulang merah di Singapura serta pengalaman bergaul dengan peniaga-peniaga warung.

"Kini barulah saya sedar membawa duit yang banyak ketika bercuti tidak semestinya menjanjikan keseronokan," katanya yang juga bekas anggota kumpulan OAG ini.

Artikel Lain