suria

Peserta Pilihan AF8 Tersingkir: AFundi Masuk?

- Foto THE STAR Oleh MOHD SAHAR MISNI
- Foto THE STAR Oleh MOHD SAHAR MISNI
- Foto THE STAR Oleh MOHD SAHAR MISNI

BERIKUTAN tersingkirnya peserta pilihan Akademi Fantasia 8 (AF8), Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir semalam, AFundi Masuk dilihat sebagai satu-satunya saluran yang mampu 'menyelamatkan' Shahir.

Mungkinkah pihak Astro mempertimbangkan AFundi Masuk?

Penerbit Eksekutif AF8, Norazian Mohd. Zahir yang diajukan soalan tersebut bagaimanapun tidak mengiakan mahupun menafikan penggunaan AFundi Masuk.

"Setakat ini, seperti yang anda tahu, terdapat kejutan Akademi Fantasia pada setiap minggu. Kita nantikan apa sahaja yang akan berlaku pada minggu seterusnya.

"Kita hanya ada tiga minggu sebelum sampai ke final-kan? Apa sahaja boleh terjadi," katanya pada sidang akhbar semalam.

Jawapan Norazian kepada soalan wartawan itu jelas menimbulkan spekulasi bahawa AFundi Masuk mungkin digunakan oleh pihak penganjur.

Lagipun Pengetua AF8, Norman terang-terang menyatakan dia terkilan dan kecewa dengan keputusan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tersebut.

Shahir mendapat undian terendah SMS iaitu 13.89 peratus dan diikuti oleh Farina (13.90), Maulana (13.94), Ain (14.07), Iwan (14.36), Daus (14.39) dan Adira (15.46).

Dari kaca mata Norman, Shahir memang layak ke peringkat akhir berdasarkan kemampuannya.

Ditanya tentang peserta menduduki tangga tercorot yang patut tersingkir pada minggu lalu, Norman berkata: "Berdasarkan persembahan semalam, memang Daus membuat persembahan yang baik. Bagaimanapun dari sudut vokal, saya rasa dia yang paling lemah semalam.

"Kalau ikutkan ranking saya, saya rasa Dauslah (yang patut tersingkir). Tapi rezeki menyebelahi dia, jadi kita terimanya," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain