suria

Konsert Ulang Tahun ke-30 Asiabeat Khamis ini

(Dari kiri) Caprice, Zainal Abidin dan Lewis Pragasam membuat persembahan bebas pada sidang akhbar Projek Asiabeat di Petaling Jaya semalam. - FotoSTAR KEVIN TAN
(Dari kiri) Caprice, Zainal Abidin dan Lewis Pragasam membuat persembahan bebas pada sidang akhbar Projek Asiabeat di Petaling Jaya semalam. - FotoSTAR KEVIN TAN
(Dari kiri) Caprice, Zainal Abidin dan Lewis Pragasam membuat persembahan bebas pada sidang akhbar Projek Asiabeat di Petaling Jaya semalam. - FotoSTAR KEVIN TAN

PETALING JAYA: Pernah mendapat jolokan Concert of The Year, Projek Asiabeat cetusan ilham pemuzik handalan tempatan, Lewis Pragasam bakal membuat kemunculan istimewa dengan menampilkan ikon muzik dunia di Dewan Philharmonik Petronas pada 8.30 malam 22 April ini.

Hanya dipersembahkan satu malam sahaja, konsert bertema 'Hear The colors, See The Music' (Dengar Warna, Lihat Muzik) itu melibatkan ikon muzik dunia tanah air, Zainal Abidin selain maestro 'shakuhachi' (serunai buluh Jepun) John Kaizan Neptune, penggesek biola luar biasa Indonesia, Tengku Ryo dan Natasha Patamapongs, ratu jazz Thailand.

Menurut Zainal, sebahagian besar daripada persembahan yang akan diperdengarkan adalah ekspresi para pemuzik secara bebas kerana mereka merupakan golongan profesional dan berpengalaman lama dalam bidang masing-masing.

Beliau turut memberi jaminan penonton akan berpuas hati dan lebih terbuka kepada seni muzik dunia yang menggabungkan kepelbagaian elemen budaya masyarakat dunia menerusi instrumen serta luahan kreativiti pakar dalam genre muzik antarabangsa.

Pelopor Asiabeat sejak 1979, Lewis berkata, idea asal adalah mengumpulkan penyanyi dan pemuzik dari benua berbeza seluruh dunia bagi membuat persembahan sempena Persidangan WINA ke-7 pada 21 April ini.

"Persembahan asal yang sepatutnya dibuat secara sederhana kini menjadi besar dengan lebih ramai penonton sebagai konsert umum di samping bengkel muzik yang akan diadakan untuk kanak-kanak dan remaja," katanya pada sidang akhbar Konsert Lewis Pragasam & Rakan-Rakan Sempena Ulang Tahun ke-30 Projek Asiabeat di sini, semalam.

Persembahan itu ditaja oleh Persatuan Mee Segera Dunia (WINA), Mee Segera Maggi dan Dewan Philharmonik Petronas.

Pada masa sama, satu klinik muzik akan diadakan pada pukul 2 petang, hari yang sama di Petrosains KLCC dan ia terbuka secara percuma kepada orang ramai.

Sementara itu Gabenor WINA Malaysia, Izham Mohamed memberitahu, usahasama itu merupakan sebahagian inisiatif pihaknya yang diharap dapat memberi manfaat kepada kanak-kanak dan menggalakkan penghargaan terhadap seni muzik dan kesedaran alam secara lebih mendalam.

Tiket konsert boleh didapati dari box office Dewan Philharmonik Petronas berharga RM40 setiap satu. Untuk maklumat lanjut, layari www.mpo.com.my atau hubungi 03-20517007.

Artikel Sebelum

Artikel Lain