suria

‘Hooperz’ – Bukan Sekadar Permainan Di Atas Gelanggang

Pasukan Hooperz sebelum beraksi di gelanggang bola jaring. - Foto ihsan PRIMEWORKS STUDIOS
Pasukan Hooperz sebelum beraksi di gelanggang bola jaring. - Foto ihsan PRIMEWORKS STUDIOS
Pasukan Hooperz sebelum beraksi di gelanggang bola jaring. - Foto ihsan PRIMEWORKS STUDIOS

MENDENGAR saja ungkapan Hooperz, mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah ia dan maknanya. Inilah buah tangan terbaru dari Primeworks Studios (Grand Brilliance) yang ingin dipertontonkan kepada khalayak bermula 23 April ini di 40 pawagam seluruh Malaysia termasuk Brunei.

Selepas sukan permotoran melalui filem Evolusi KL Drift 2, sukan bola jaring pula mengambil tempat dengan pengisian plot cerita yang mengaitkan sukan ini dengan kehidupan tujuh pemainnya. Ia mengisahkan bagaimana sukan bola jaring dapat menyatukan mereka bukan saja dalam menyusun strategi untuk menang tetapi juga mengatur perjalanan hidup masing-masing melalui kumpulan bola jaring yang diberi nama Hooperz.

Pengurus Besar Filem dan Drama, Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah berkata, filem ini mengetengahkan konsep semangat kerja berkumpulan, hubungan rakan sebaya dan hubungan keluarga.

“Mereka harus sedar persefahaman perlu dibentuk bukan sahaja ketika di atas gelanggang malah di alam realiti kehidupan supaya setiap pergerakan itu seharusnya berada di atas landasan yang betul ibarat bola yang dibaling meluru tepat masuk ke dalam jaring," katanya.

Dia juga menambah, coretan jalan cerita filem ini pastinya akan mengembalikan nostalgia dan mengukir senyuman terutamanya kepada kaum wanita yang pernah menyertai sukan ini ketika zaman persekolahan yang lalu.

Filem yang turut menyelitkan elemen komedi itu diterbitkan dengan kerjasama MHz Film, syarikat yang pernah menerbitkan filem Mukhsin dan Sepet serta hasil tulisan Wan Hasliza dari KL Motion Picture, penulis filem dan drama bersiri Dunia Baru.

Buat pertama kali, Grand Brilliance mengemukakan dua pengarah baru, Rosihan Zain dan Sheikh Munasar, untuk menggarap Hooperz menggunakan kamera HD Red Cam buat pertama kalinya di Malaysia bagi filem cereka.

Gabungan dua pengarah dalam satu filem mungkin dianggap sebagai satu cabaran yang berisiko tinggi kerana terdapat dua cetusan idea dari dua fikiran yang berlainan disatukan dalam sebuah filem.

Tetapi menerusi Hooperz, kedua-dua pengarah menggunakan idea kreatif dan kemahiran masing-masing menjadi satu naskah cerita dengan satu kesudahan. Ini terbukti menerusi bagaimana olahan jalan ceritanya mengikut citarasa penonton di mana ada klimaks yang bakal mendebarkan hati penonton.

Tujuh pelakon utama yang membintangi filem ini, iaitu Melissa Maureen Rizal, Intan Nor Saina, Juliana Evans, Anita Baharom, Dawn Jeremiah, Akma AF dan Zazleen Zulkifli yang beraksi sebagai pemain bola jaring kumpulan Hooperz bakal membawa penonton menyelami suka duka mereka dalam membawa kumpulan itu bergelar juara.

Pelakon-pelakon ini diberikan latihan selama tiga bulan untuk memantapkan permainan mereka dalam sukan bola jaring bersama-sama jurulatih mereka lakonan Amy Mastura dan Adibah Noor.

Sinopsis Hooperz

Hooperz adalah sebuah filem drama ringan dengan babak-babak komedi yang mengisarkan kehidupan tujuh orang pemain bola jaring untuk pasukan kolej mereka yang dikenali sebagai Hooperz.

Pasukan mereka gagal beraksi cemerlang di gelanggang kesan masalah peribadi yang dialami mereka sendiri, hinggakan mereka sukar bekerjasama sebagai satu pasukan. Hooperz dianggotai Atylia (Intan Nor Saina) yang mempunyai kecacatan tangan tetapi merupakan penjaring utama dalam pasukannya. Atylia tinggal bersama ayahnya Profesor Iqbal, seorang angkasawan yang kecewa dan kemudian menjadi pensyarah fizik di sebuah kolej.

Ketua pasukan Hooperz, Zulaikha (Melissa Maureen) pula sentiasa berusaha untuk menyatukan pemain pasukannya sementara si penjaga gol iaitu Arzwar (Akma) sering dihantui kelibat anak kecil yang muncul dalam hidupnya. Ahli pasukan yang lain seperti Saidatul (Anita), Sue (Dawn), Nino (Juliana) dan AJ (Zazleen) juga mempunyai kisah hidup mereka tersendiri.

Filem ini membawa anda menyelami kesungguhan setiap ahli pasukan Hooperz dalam menghadapi dugaan, kadangkala lucu, untuk mengubah nasib pasukan mereka dan juga masa depan mereka sendiri.

Artikel Lain