suria

Transisi Kavita Sidhu

Kavita merancang untuk memulakan perniagaan butiknya sendiri di masa akan datang. - Foto SIA HONG KIAU
Kavita merancang untuk memulakan perniagaan butiknya sendiri di masa akan datang. - Foto SIA HONG KIAU
Kavita merancang untuk memulakan perniagaan butiknya sendiri di masa akan datang. - Foto SIA HONG KIAU

SUDAH terlalu lama model dan aktres tinggi lampai ini mengidam untuk mengeluarkan jenama fesyennya sendiri.

Namun, disebabkan keterbatasan waktu dan kekangan kewangan, Kavita Sidhu, terpaksa memendamkan hasrat itu. Berkat kesabaran dan dedikasi, akhirnya pada 2007 impiannya mula menampakkan potensi ke arah itu.

Mengulas tentang transisinya dari pentas peragaan dan bidang seni ke bisnes fesyen, Kavita berkata perubahan itu sememangnya sudah lama diidamkan. Pengalaman bertahun-tahun dalam bidang peragaan telah menyuntik inspirasi buat wanita berdarah Punjabi ini untuk menceburi bisnes fesyen secara profesional.

“Sebenarnya sudah terlalu lama saya teringin untuk ceburi bisnes ini dan mengeluarkan jenama fesyen saya sendiri. Sebelum ini, saya belum bersedia, selain banyak kekangan yang perlu dihadapi.

“Hanya sejak tiga tahun kebelakangan ini baru saya benar-benar yakin dan bersedia untuk mengeluarkan jenama fesyen ini dalam tahun ini juga,” ujar Kavita yang mula berkecimpung dalam dunia peragaan seawal usia 14 tahun.

Ditanya mengenai jenama koleksi fesyennya itu, Kavita bagaimanapun masih tidak dapat mengumumkan jenama rasmi yang menjadi pilihan. Katanya, buat masa ini koleksi rekaannya itu akan dikenali menggunakan namanya sendiri.

“Jujurnya, saya masih belum dapat putuskan nama rasmi untuk koleksi fesyen ini. Buat masa ini, ia akan menggunakan nama saya sendiri. Saya masih tidak pasti untuk gunakan nama lain atau kekalkan nama saya sahaja. Apapun, tunggulah sehingga pelancaran rasminya tidak lama lagi,” ujar pelakon filem Waris Jari Hantu ini.

Bercerita lagi, wanita berusia 38 tahun ini berkata, sebagai permulaan dia memilih untuk tampil dengan koleksi fesyen yang bertemakan resort dan kasual untuk kaum hawa.

Kavita yang menitikberatkan keselesaan dan pakaian yang praktikal lantas menjadikan elemen-elemen itu sebagai faktor kepada pemilihan tema tersebut.

Baginya, sebagai pengeluar fesyen, dia senang untuk menawarkan koleksi fesyen yang bukan sahaja selesa dipakai, malah paling penting ia boleh dipakai oleh segenap lapisan umur.

“Pemilihan tema resort dan kasual untuk koleksi pengenalan ini dilakukan atas dasar untuk memberi pilihan kepada pengguna yang mementingkan pakaian yang selesa ringkas, mudah, seksi dan praktikal untuk dipakai.

“Selain itu, konsep itu juga bersesuaian dengan iklim di negara kita dan gaya hidup wanita hari ini. Jadi, saya pilih fabrik yang bukan sahaja ringan dan selesa, malah boleh dipakai oleh pelbagai peringkat umur,” katanya yang merancang untuk menjalankan perniagaan butik di masa akan datang.

Beralih perbualan kepada peluang untuk memperkenalkan koleksi fesyennya itu di pentas STYLO Fashion Grand Prix KL 2010, aktres jelita itu berkata, dia sebenarnya terhutang budi dengan Presiden juga CEO STYLO International, Datuk Nancy Yeoh kerana pelawaan berharga itu.

Menurut Kavita yang mengenali Datuk Nancy sejak bertahun-tahun lalu, dia telah diberikan peluang untuk memanfaatkan pertunjukan fesyen berprestij ini bagi memperkenalkan koleksi fesyennya kepada umum.

“Peluang ini boleh diibaratkan sebagai pra-pelancaran kepada koleksi fesyen saya. Walaupun pertunjukan ini bukanlah pentas rasmi untuk melancarkan jenama fesyen ini, ia adalah platform terbaik untuk saya memperkenalkan koleksi ini.

“Sebenarnya, peluang untuk menampilkan jenama fesyen ini bermula dengan pelawaan Datuk Nancy sendiri. Kami sudah lama saling mengenali dan dia mengetahui impian saya untuk mengeluarkan jenama fesyen sendiri.

“Jadi, bersempena dengan STYLO Fashion Grand Prix, KL 2010 ini, dia mempelawa saya untuk memperkenalkan koleksi fesyen ini di hadapan khalayak,” jelas Kavita yang terlibat secara langsung dalam setiap rekaan koleksi fesyennya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain