suria

Faizal AF: Saya Semakin Matang

Faizal bertekad ingin membuang jauh-jauh 'kisah hitam' dan fokus pada kariernya. - Foto oleh RAYMOND OOI
 Faizal bertekad ingin membuang jauh-jauh 'kisah hitam' dan fokus pada kariernya. - Foto oleh RAYMOND OOI
Faizal bertekad ingin membuang jauh-jauh 'kisah hitam' dan fokus pada kariernya. - Foto oleh RAYMOND OOI

PENYANYI dan pelakon Mohd Faizal Ramly mengakui dirinya semakin matang hari ini. Di sebalik 'keracauan' yang pernah membelenggunya sebelum ini, dia sebenarnya beransur stabil dan bahagia. Itu luahan 'bintang segera' program Akademi Fantasia 4 ini kepada mStar Online, baru-baru ini.

Menurut bapa muda ini, kronologi 'episod hitam' yang pernah memalitnya begitu menyakitkan bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada keluarga dan peminat juga.

Pelbagai hamburan dan dakwaan yang mengaitkannya dengan kes dadah, tidak berdisiplin, kes khalwat, merahsiakan perkahwinan dan macam-macam lagi benar-benar mengajar anak jati Terengganu ini erti kematangan.

Hari ini, Faizal bertekad untuk melempar jauh-jauh semua cerita lama. Sejak bergelar bapa, dia semakin matang dan ingin bekerja keras untuk memajukan diri dan keluarga.

"Pengalaman lalu banyak mengajar saya erti kedewasaan. Kini saya semakin matang dan ingin bekerja lebih keras untuk diri sendiri, selain melunaskan tanggungjawab kepada keluarga.

"Saya ingin jadi insan yang lebih baik. Kini, saya sudah menjadi bapa, tanggungjawab juga semakin besar.

"Alhamdulillah, kehidupan saya semakin stabil dan bahagia hari ini. Yang penting senyum sokmo," kata bapa kepada Nur Aliya Damia yang baru mencecah dua bulan setengah ini.

Mengulas tentang persepsi segelintir pihak yang melabelnya sebagai artis bermasalah sebelum ini, Faizal berkata, dia tidak mahu 'ambil pusing' semua cerita itu. Hari ini, Faizal semakin matang dan hanya ingin terus menyanyi.

"Biarlah apa juga tanggapan orang tentang saya. Saya tidak buat jahat dengan orang, kenapalah orang sering cakap macam-macam tentang saya.

"Hanya saya dan keluarga saja tahu kebenaran setiap tohmahan yang dilemparkan selama ini.

"Semua cerita tak 'molek' itu telah saya lempar jauh-jauh. Saya hanya ingin menyanyi dan diterima kembali dalam industri ini.

"Saya tahu kerana bakat ini saya terus berada di sini. Saya harap semua pihak beri saya ruang untuk berkarya sebagai anak seni," luah Faizal penuh harapan.

Menyentuh perkembangan seni, Faizal berkata, lagu terbarunya bakal ke udara di radio dalam masa terdekat.

Lagu bergenre pop yang berjudul Aku Pinta itu merupakan single pertamanya sebelum muncul dengan album penuh sekitar pertengahan tahun ini.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer Bad Niskala itu bukan sahaja mempunyai melodi yang indah, malah liriknya cukup dekat dengan Faizal.

Katanya, lagu itu berkisar kepada perjalanan hidupnya yang penuh beronak duri. Sebagai manusia, dia hanya inginkan kehidupan yang lebih baik serta dilimpahi kebahagiaan dan ketenangan.

"Lagu ini begitu dekat dengan saya. Liriknya diilhamkan oleh saya berdasarkan pengalaman hidup saya selama ini. Saya kongsikan cerita itu dengan Bad (komposer), lalu terhasilnya lagu itu.

"Liriknya adalah kiasan hasrat hati saya yang inginkan kehidupan yang lebih baik serta diulit kebahagiaan dan ketenangan," ujarnya sambil mengukir senyuman.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain