suria

Seniman Tak Terima Artis Terlibat Dadah

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) mengambil inisiatif bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam membendung masalah dadah yang sering dikaitkan dengan artis Malaysia.

Presidennya, Harun Salim Bachik memandang serius perkara ini sebagai satu masalah serius yang harus dibanteras secara agresif bersama pihak berkuasa, badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan dan masyarakat.

Menurutnya, Seniman memberi peluang kepada artis-artis yang terlibat dengan najis dadah ini supaya tampil menyerah diri kepada Seniman dan AADK bagi menjalani pemulihan.

“Kami sedar banyak artis yang terlibat dengan masalah dadah ini. Ada yang mahu kembali ke pangkal jalan tapi mereka tidak tahu ke mana ingin dituju, maka kami rasa jalinan kerjasama dengan AADK adalah jalan terbaik.

“Banyak program-program yang kami rancangkan berbentuk pemulihan dan Seniman juga sudah memilih penyanyi Hattan sebagai ikon pada program ini.

“Insya-Allah pertengahan tahun ini ia akan dilancarkan. Kita mahu penglibatan Seniman ini sedikit sebanyak membantu menangani masalah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Seniman turut menegaskan artis yang terlibat dengan masalah dadah tidak akan diterima sebagai ahli Seniman dan dilindungi sehinggalah mereka mahu menjalani rawatan pemulihan.

“Kami memandang serius perkara ini. Bagi artis yang kami kenal pasti terlibat atau disyaki terlibat, mereka tidak akan diterima menjadi ahli Seniman melainkan mereka menawarkan diri untuk menjalani rawatan pemulihan dengan pengasih atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN),” jelasnya.

Manakala dalam kes pengedaran dadah, Harun berkata, perkara tersebut di luar bidang kuasa persatuan dan mereka tidak bertanggungjawab kepada segala kes yang berunsur jenayah.

“Jika perkara tersebut melibatkan kes-kes jenayah, Seniman tidak campur tangan. Itu tugas polis, jadi kami juga tidak mahu mengalakkan jenayah jika kami membantu mereka yang benar-benar disabitkan kesalahannya.

“Tapi kami sediakan perkhidmatan peguam jika mereka perlukan disamping memberi sokongan kepada pihak keluarga mereka juga,” terang Harun.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan artis-artis muda agar tidak menganggap dadah sebagai trend atau melambangkan gaya hidup yang baik, sebaliknya menjadikan artis yang berjaya dan tidak terjebak dengan gejala tidak sihat itu sebagai idola.

“Mereka perlu menjadikan contoh artis-artis Malaysia yang berjaya yang tidak terjebak dengan dadah. Mereka perlu fikir masa depan, peminat dan keluarga sebelum mengambil jalan singkat menagih atau menjual dadah.

“Saya juga tidak mahu hanya kerana beberapa artis yang terlibat dengan dadah merosakkan nama baik artis yang lain,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain