suria

Kerana Stileto, Tumitku Cedera

KALAU adalah anugerah artis malang 2010, mungkin pelakon dan penyanyi sorang ni berpeluang cerah untuk merangkul pengiktirafan tu. Nak tau kenapa Ad Lib cakap macam tu, kisah hidup si artis wanita ni mungkin boleh diibaratkan “sudah jatuh ditimpa tangga”.

Sudahlah episod cerai-berai dan cerita suaminya berbahagia di samping aktres muda yang sorang ni cukup meruntun jiwa raganya. Tak cukup dengan tu, dengarnya anak-anaknya sendiri juga manja dengan kekasih bekas suaminya tu.

Terbaru, ada sorang sumber Ad Lib pula beritahu si aktres ni sedang berehat di rumah kerana mendapat kecederaan di bahagian tumit. Nak tahu apa puncanya?

Gara-gara stileto atau istilah umumnya kasut tumit tinggi, kaki si aktres ni cedera teruk kerana ‘terkehel’ ketika melangkah bangga sambil menyarung sepatu tumit tingginya tu.

Nak tergelak pun ada bila Ad Lib dengar cerita artis ni, kesian pun ada juga. Macam manalah dia boleh terkehel ya? Nak kata tak biasa pakai, tak mungkin juga. Bukannya baru sehari dua dia bergelar artis, dah lebih 10 tahun pun.

Kata sumber tu lagi, kecederaan pada tumit aktres tu agak teruk jugalah. Tapi, sejauh mana seriusnya, Ad Lib pun tak pasti. Sudahlah hatinya sakit kerana cerita-cerita panas yang silih berganti, kini dapat pula kesakitan baru.

Di mana, bila dan apa sebab-musabab yang menjadi punca insiden malang tu pun Ad Lib tak tahu.

Cuma apa yang disampaikan pada Ad Lib, aktres ni sedang merawat ‘lukanya’ yang ‘bertimpa-timpa’ itu dan berehat di rumah. Ala-ala lagu Liza Hanim, ‘Merawat Luka Yang Terpendam’lah kiranya tu.

Tapi kalau betullah, memang Ad Lib benar-benar simpati dengan aktres tu. Banyak-banyakkanlah bersabar dengan dugaan Tuhan ni ya.

Ad Lib: Ujian datang bertimpa-timpa tanda Tuhan sayang kat kita, tak gitu?

Mulanya ‘Kekwat’, Lepas Tu Tengadah Pula

PERANGAI ‘superdiva’ aktres dan penyanyi muda sorang ni pun bukan perkara baru dalam industri. Maklumlah diri tu tengah popular dan pemenang anugerah pula tu, pantang silap sikit, mulalah sikap ‘kekwatnya’ menjadi-jadi.

Dalam pada sikap ‘kekwat’ dan berlagak bagus si aktres ni, ada juga cerita lucu yang sampai ke Ad Lib tentang dia.

Menurut sumber Ad Lib, baru-baru ni si aktres tu ditawarkan watak utama untuk berlakon dalam filem arahan pengarah muda popular ni.

Kata sumber ni, di awal proses rundingan si aktres ni telah meletakkan harga tertentu mengikut pencapaian dan namanya yang kononnya meletup-letup tu.

Tapi produksi yang dah biasa raih-raih untung berjuta-juta ni cuma mampu tawarkan harga yang lebih rendah daripada harga yang ditetapkan oleh aktres ni.

Runding punya runding, produksi ni tetap tidak berganjak dengan kadar harga yang mereka tawarkan.

Malah, mereka juga beri kata dua pada aktres tu, jika mahu terima tawaran tu, aktres tu kena akur dengan harga mereka. Jika tak berminat atau rasa terlalu rendah dan tak berbaloi dengan ‘nama besarnya’ tu, mereka tak paksa, malah boleh cari pengganti lain.

Sudahnya, aktres tu mengalah dan terima juga tawaran tu dengan rasa ‘kelat’. Kata sumber Ad Lib tu lagi, nak tergelak juga diaorang melihatkan telatah berangan diva si aktres kekwat tu.

Mula-mula berlagak letak harganya untuk berlakon, tiba-tiba bila dengar kata dua daripada produksi tu, boleh pula mengalah.

Kata sumber tu lagi mereka hairan juga macam mana si aktres tu sanggup terima tawaran tu walaupun harganya jauh lebih rendah daripada harga asal.

Selidik punya selidik, rupa-rupanya si aktres tu tengah ketandusan tawaran lakonan. Kiranya, si aktres tu terdesak jugalah sebenarnya, cuma saja je nak tunjuk kewat.

Ad Lib: Ramai artis kita gah pada nama tapi poket ‘kering’

Artikel Lain