suria

Teater Gamat 2 Lebih Memukau dan Kelakar

Watak Ibu Gamat tetap milik Amy Mastura. Foto The star Oleh M.SAHAR MISNI
Watak Ibu Gamat tetap milik Amy Mastura. Foto The star Oleh M.SAHAR MISNI
Watak Ibu Gamat tetap milik Amy Mastura. Foto The star Oleh M.SAHAR MISNI

TEATER Gamat 2 yang menampilkan beberapa muka baru bukan sahaja memberikan kelainan dari segi persembahan, tetapi turut membuatkan audien tidak kering gusi dengan lawak humornya.

Antara artis yang terlibat bagi menjayakan teater muzikal itu ialah Ziana Zain yang melakonkan watak ketua Obor-obor, Amy Mastura (Ibu Gamat), Misha Omar (Ketua Buntal) dan Diana Johor (obor-obor).

Sempena cuti sekolah penggal pertama yang baru sahaja bermula, sedikit sebanyak telah menarik audien cilik untuk menonton teater tersebut.

Teater Gamat mengisahkan kehidupan di dalam laut yang dipenuhi pelbagai kisah suka dan dukanya.

Laut itu dihuni oleh pelbagai kehidupan laut yang memuatkan watak baik dan watak jahat. Ini termasuklah Gamat, Ketam, Tapak Sulaiman, Kurita, Obor-Obor, Baracuda, Kuda Laut, Sotong, Landak Laut, Umang-Umang dan Ikan Todak.

Kisahnya bermula dengan Ibu dan Bapa Gamat yang mahu menolong Profesor membuat penyelidikan tentang gamat dan menyuruh anaknya Mat duduk di rumah. Mat yang tidak mahu mendengar nasihat ibu dan bapanya telah keluar berjalan-jalan dan bertemu dengan Ketam Bunga, Ketam Batu dan Tapak Sulaiman.

Akibat kedegilannya itu juga, Mat telah ditangkap oleh sekumpulan Obor-Obor yang menyangkanya adalah ibu gamat.

Manakala di Karang Puaka, Kurita pula sedang menderita kesakitan akibat kesan toksid. Kurita telah meminta pertolongan dengan mengarahkan Obor-obor menangkap Ibu Gamat supaya dapat mengubati penyakitnya.

Ibu Gamat yang menyedari kehilangan anaknya telah berjumpa dengan Buntal (Polis Laut). Mereka berbincang dan berjumpa dengan Mahatahu (Belut Laut) yang memberi petunjuk kepada Ibu Gamat bagaimana untuk menemui anaknya.

Ketika dalam perjalanan mencari anaknya Mat, pelbagai peristiwa telah berlaku yang disaksikan oleh Ibu Gamat. Ini termasuklah banyak hidupan laut yang sakit akibat laut tercemar. Ibu Gamat yang prihatin telah mengubati mereka dengan menggunakan produk gamat ramuan Profesor Gamat.

Akhirnya, Mat berjaya ditemui. Kurita dan Obor-Obor telah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Mereka mengaku bersalah dan dikenakan hukuman membersihkan Taman Laut. Mereka juga berjanji tidak akan mengganggu penghuni laut lagi.

Selain menjadi medium hiburan, teater ini juga turut menyelitkan unsur nasihat dan mesej sebagai penguat jalan ceritanya.

Watak Misha sebagai ketua skuad Buntal bukan sahaja menggelikan hati, tetapi turut menguatkan jalan ceritanya. Berlainan pula dengan watak Ziana Zain sebagai ketua Obor-obor yang mempunyai sikap yang buruk, namun watak tersebut telah berjaya dibawa olehnya.

Sebelum menutup tirainya, Amy Mastura selaku Ibu Gamat telah memberikan soalan kepada audien yang melayakkan pemenangnya menerima barangan House of Healin.

Teater Muzikal Gamat bermula 12 hingga 22 Mac ini. Bagi yang berminat, boleh dapatkan tiket berharga RM22 (3 petang) dan RM50 (8.30 petang). Keterangan lanjut hubungi 03-61866592 atau layari www.muzikalgamat.blogspot.com

Artikel Sebelum

Artikel Lain