suria

Gara-gara Imej 'Avatar' Betty Terima SMS Lucah

Betty tampil dengan potongan rambut baru.
 Betty tampil dengan potongan rambut baru.
Betty tampil dengan potongan rambut baru.

GARA-GARA imej Avatar yang dipaparkan oleh Mingguan mStar di edisi pertama minggu lalu, selebriti jelita Betty Banafe mengakui diganggu seorang yang tidak dikenali sejak kebelakangan ini.

Menurut pelakon dan penyanyi ini, gangguan itu bermula dengan kiriman emel awal minggu lalu setelah artikel tersebut memaparkan fantasi Betty dalam aksi berani persis karekter Neytiri dalam filem Avatar.

Jelas Betty, kini popular dengan drama Bagi Balik Jandaku asalnya ia hanya sekadar gangguan peminat misteri namun lama kelamaan mesej yang diterima berbaur lucah dan menakutkan.

"Sejak minggu lepas saya ada terima satu kiriman emel namun saya tidak membalasnya. Dia kata dia peminat fanatik saya tapi saya pelik bagaimana dia dapat nombor telefon saya dan beri mesej yang bukan-bukan.

"Pada mulanya saya membalas Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) tapi setelah membaca beberapa mesej yang diberinya untuk mendapat kepastian siapa sebenarnya peminat misteri tersebut, saya jadi takut.

"Semakin lama SMS dan panggilan telefon darinya semakin menakutkan saya. Dia juga sampai sanggup menawarkan dirinya menjadi hamba saya...

"Sekarang dia masih menghantar mesej dan menelefon tapi saya takut nak balas. Saya fobia gangguan darinya, takut dia tahu tempat tinggal saya pula," ujarnya.

Lelaki misteri yang memperkenalkan diri sebagai 'Mr.Lim' itu merayu sanggup berbuat apa sahaja agar pelakon itu menjadi kekasihnya.

"Saya rasa dia seorang yang psiko. Cara dia bercakap seolah-olah dia kenal sangat dengan saya tapi sebenarnya tidak.

"Jika perkara ini berterusan dan semakin merbahaya saya akan buat laporan polis bagi keselamatan diri.

"Saya perlu berhati-hati kerana sebelum ini saya pernah terbaca tentang seorang model mati dibunuh disebabkan peminat misteri," ujar Betty yang tampil dengan gaya rambut barunya pada sidang media Konsert Kau Di Hatiku, kelmarin.

Dalam pada itu juga, penyanyi ini bakal membuat persembahan pada malam amal konsert Kau Di Hatiku bersama beberapa orang artis seperti Adibah Nor, Zainal Abidin, Aizat, Amy Mastura dan ramai lagi.

"Saya dipelawa oleh Adibah Nor untuk bersama-sama menjayakan konsert amal bagi mengutip dana kepada golongan artis yang memerlukan.

"Sebagai seorang artis, saya juga ingin menyumbang sekadar yang mampu kepada mereka yang memerlukan terutamanya kepada golongan artis sendiri.

"Saya akan buat persembahan pada 9 April ini dengan menyampaikan dua buah lagu," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain