suria

Saya Yakin Orang Dekat Cuba Jatuhkan Saya- Mila

SETELAH dihimpit kontroversi cinta diludah kekasih, muncul pula satu persatu cerita buruk mengaitkan juara Akademi Fantasia kelima (AF5) Mila sekaligus memberi tanggapan bahawa gadis berusia 23 tahun ini sebagai artis bermasalah.

Selain digosipkan mempunyai sugar daddy, selebriti ini juga dikatakan tidak sehaluan dan bersikap kasar dengan pengurus peribadinya. Terbaru Syarikat LuvMILA Corporation yang mengeluarkan produk kosmetik dikatakan sudah ditutup.

Namun pemilik nama Noorsyarmilla Jirin tidak patah semangat untuk menempuhi segala yang berlaku, malah dia mengakui dia tahu siapa dalang di sebalik cerita-cerita buruk itu.

"Syarikat LuvMila masih lagi beroperasi dan saya telah serahkannya di bawah pengurusan multilevel marketing dan pejabat saya masih lagi beroperasi seperti biasa.

"Saya tahu ada yang kata pejabat saya sudah tutup dan saya sudah pun bankrap dan saya rasa saya kenal orang itu. Saya tahu dia yang menceritakan perkara-perkara buruk tentang saya kepada orang ramai.

"Saya yakin orang tersebut adalah orang yang dekat dengan saya dan ingin menjatuhkan saya. Dia tidak suka apa yang saya buat sekarang," jelas pelakon utama drama Kau dan Aku di Astro Ria ini.

Gadis genit ini mengakui jauh disudut hatinya, dia terkilan dengan sikap orang-orang yang cuba menjatuhkan kerjaya dengan menjaja cerita buruk tentang dirinya.

"Saya terkilan sebab orang itu saya kenal, dia tahu saya bersusah payah untuk buat semua ini.

"Buat masa ini biarlah saya berdiam diri. Saya malas nak kecoh-kecoh nanti saya juga yang kene tempiasnya. Biarlah... selagi dia tidak mencalarkan maruah dan kerjaya saya," keluh Mila.

Belajar Main Gitar

Melihat senario penyanyi wanita seperti Yuna dan Ana Rafalli membuat persembahan sambil memetik gitar, Mila juga tidak mahu ketinggalan. Dia kini sedang belajar gitar di sebuah sekolah muzik persendirian di Puchong.

"Saya suka gitar, saya dah lama beli gitar tapi tak pandai main. Jadi Ayah suruh saya ambil kelas gitar. Rami yang pandai main gitar boleh mencipta lagu sendiri, manalah tahu saya mampu mencipta lagu saya sendiri satu hari nanti.

"Selain itu penampilan artis-artis wanita baru kini dengan gitar, saya lihat lebih yakin dan bergaya ketika mempersembahkan lagu mereka," ujarnya yang bakal muncul dalam filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie bersama Nabil Raja Lawak.

Dari segi perkembangan albumnya, Mila bakal merakamkan single terbarunya pada pulan hadapan untuk album solo kedua dan dijangka keluar pada April depan.

Artikel Lain