suria

Heliza Nafi Kahwin 'Datuk'

Heliza tidak menolak sekiranya dijodohkan dengan 'Datuk'.
Heliza tidak menolak sekiranya dijodohkan dengan 'Datuk'.
Heliza tidak menolak sekiranya dijodohkan dengan 'Datuk'.

WALAUPUN bakal bergelar guru suatu hari nanti, Heliza yang sedang sibuk dengan kariernya sebagai anak seni dan masih menggalas tanggungjawab sebagai pelajar tidak sesekali mengeluh dengan jalan yang dipilihnya.

Heliza yang sering dilanda persoalan mengenai soal peribadinya bagaimanapun tidak mudah melatah sebaliknya mengakui, sudah menjadi adat sebagai anak seni dia tidak dapat mengelak dan sering mendapat tempias gosip-gosip seperti itu.

Ditanya mengenai desas-desus mengatakan bakal berkahwin dengan seorang lelaki yang bergelar 'Datuk' pertengahan tahun ini, Heliza yang agak tenang dengan gosip-gosip sebegitu memberitahu dia sendiri tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

"Saya pelik, orang luar lebih tahu daripada saya sendiri, saya pun tidak tahu dari mana cerita ini terbit.

"Macam mana saya nak kahwin, calonnya pun saya tiada. Sekarang ini, saya mahu tumpukan belajar dan kerjaya saya.

"Tidak pernah saya terfikir untuk berkahwin, belajar pun belum habis, nanti mak saya marah pula," katanya dalam nada bergurau.

Mengakui mengenali ramai orang yang dianggapnya sebagai kawan dan kenalan bisnes, Heliza memberitahu dia sesekali tidak akan menyembunyikan perkara tersebut sekiranya dia akan berkahwin.

"Buat apa saya mahu sembunyikan perkara baik, jika betul saya akan beritahu," katanya sambil ketawa.

Dihambat kesibukan dengan tugasan sehariannya, Heliza yang bakal keluar dengan single pada pertengahan Februari ini turut mengakui dia tidak akan berkahwin buat masa terdekat tetapi tidak menolak sekiranya jodohnya datang lebih awal.

"Memang jika diikutkan, pada umur sebegini saya sudah boleh memulakan sesebuah hubungan.

"Tapi dengan komitmen sekarang dan banyak tugasan yang perlu dilaksanakan, saya rasa tidak perlu fikir soal kahwin.

"Walaupun kita menolak, tetapi jika Allah sudah mentakdirkan jodoh kita sudah sampai, saya tidak akan menolak. Tapi kalau boleh biarlah jodoh saya datang pada masa yang sesuai," katanya yang pernah membintangi filem Syurga Cinta.

Menurut anak kelahiran negeri Terengganu ini, walaupun sibuk dengan tugasan sebagai pelajar, namun tidak sesekali menghalangnya untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni.

"Saya memang sibuk sangat, tapi untuk berjaya, saya rasa itulah yang perlu dihadapi.

"Saya mesti pandai membahagikan masa untuk pengajian saya dan bidang seni," ujarnya yang sedang berada di semester akhir pengajianya.

Selepas berakhirnya Akademi Fantasia 5 (AF5), Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi mengakui dia turut menerima undangan menyanyi selain pernah ditawarkan untuk berlakon drama.

"Kalau mahu kata saya sudah semakin perlahan dalam bidang seni, rasanya tidak, kerana saya masih menerima tawaran.

"Tetapi disebabkan tiada masa dan terpaksa memberikan komitmen kepada pengajian saya, membuatkan orang anggap saya sudah semakin perlahan," ujarnya yang tamat menjalani latihan praktikal guru di Sekolah Men.(P) Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Menyedari bidang yang diceburinya begitu jauh berbeza dengan bidang pengajiannya, Heliza memberitahu ia adalah satu kelebihan buat dirinya kerana dapat menyatukan seni dan pendidikan menjadi satu.

"Saya cuba menggabungkan, contohnya formula sains yang agak susah untuk diingati menjadi sebuah lagu.

"Perkara tersebut saya aplikasikan kepada pelajar-pelajar saya semasa latihan praktikal dulu. Hasilnya, mereka lebih cepat dapat mengingati dan saya rasa itu kelebihan yang dapat saya praktikkan," kata Heliza, 24.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dian Bertunang Secara Tertutup?

Artikel Lain