suria

Memey: Keluarga Sudah Beri Restu, Cuma Tunggu Masa…

Hanya masa yang akan menyaksikan pasangan kontroversi, Memey dan Norman (kanan) disatukan.
Hanya masa yang akan menyaksikan pasangan kontroversi, Memey dan Norman (kanan) disatukan.
Hanya masa yang akan menyaksikan pasangan kontroversi, Memey dan Norman (kanan) disatukan.

BIARPUN belum mengakui secara rasmi yang mereka sedang bercinta, pasangan pelakon Memey Suhaiza dan Norman Hakim tidak menyembunyikan keintiman mereka.

Misalnya, gambar-gambar yang dirakamkan bersama seperti yang tersebar di Internet jelas menunjukkan pasangan ini sedang dilamun cinta.

Malah pasangan bahagia ini juga semakin berani muncul berdua-duaan di khalayak ramai.

Baru-baru ini, Memey dan Norman dilihat datang menaiki kereta yang sama ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi prosiding kes khalwat mereka.

Diusik kepada pasangan ini, Norman menjawab ini bukan pertama kali mereka menaiki sebuah kereta.

“Memang kami sudah banyak kali datang bersama,” ujar Norman sambil berlalu keluar dari mahkamah.

Dalam keadaan tergesa-gesa, Norman meminta izin untuk pulang kerana mahu menghantar anaknya ke sekolah pada pukul 1 petang itu.

Ramai yang tertanya-tanya bilakah pasangan kontroversi ini bakal menamatkan hubungan mereka ke jinjang pelamin.

Sementara itu, menurut peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan, tidak menjadi masalah untuk Norman dan Memey bernikah walaupun kes khalwat mereka masih berjalan.

Namun begitu, katanya lagi, tidak bermakna kes itu akan berakhir setelah mereka berkahwin kerana ia sudah didakwa di mahkamah.

Dalam nada gurau, di hadapan pasangan itu, Fakhrul berkata Memey dan Norman akan berkahwin selepas kes mereka selesai dan pastinya perkahwinan mereka akan menjadi wedding of the year.

Lantas, Norman menambah: “Buat apa wedding of the year, nanti perkahwinan itu tidak kekal lama… saya lebih suka melihat perkahwinan Norman KRU, dia hanya buat ringkas sahaja.”

Mendengar jawapan itu, adakah mereka sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga?

“Kami belum merancang untuk berkahwin. Itu hanya contoh sahaja,” jelas Norman sambil tersenyum.

Dalam pada itu, Memey yang ditemui tidak menafikan perancangan untuk berkahwin memang sudah ada tetapi biar masa yang menentukan.

“Sekarang kami belum merancang untuk berkahwin tetapi kalau perancangan ke arah itu memang ada. Saya masih muda dan perlu stabilkan karier saya terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, keluarga masing-masing dah kenal antara satu sama lain dan memberi restu. Cuma tunggu masa sahaja dan semuanya berbalik kepada soal jodoh,” luahnya yang tidak kisah seandainya dia tidak bertemu jodoh dengan Norman.

Memey juga berkata sebab itu dia tidak mahu terlalu awal untuk membuat keputusan dan bercerita tentang perkahwinan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain