suria

Dakwaan Tentang Hairie Othman Rosakkan Filem Saya Tidak Berasas - Dr Rozmey

EKORAN cerita yang timbul di sebuah akhbar mingguan semalam yang mendakwa aktor Hairie Othman 'menghancurkan' filem arahan sulungnya 2 Alam, mStar Online terpanggil untuk menghubungi penerbit filem itu sendiri, Dr Rozmey bagi mendapatkan penjelasan.

Menurut Dr Rozmey, sebagai penerbit dia telah memilih pasukan kerja yang terbaik bagi merealisasikan karya ilhamnya itu. Justeru, dakwaan yang timbul adalah tidak berasas sama sekali.

"Cerita yang mendakwa Hairie 'rosakkan' atau 'hancurkan' filem saya tidak timbul. Ia tidak berasas sama sekali.

"Apa yang penting bagi Doktor adalah filem itu telah siap seperti yang dirancang. Malah, lebih awal daripada jangkaan pun.

"Sebagai penerbit, bukan hak Doktor untuk mengulas apa-apa mengenai Hairie.

"Dia telah diberi amanah untuk mengarah dan Doktor beri peluang itu kepadanya. Bagi Doktor, Hairie sudah siapkan bahagiannya dengan baik dan Doktor berpuas hati.

"Bukan sahaja Hairie malah semua pihak yang terlibat telah beri komitmen terbaik mereka untuk siapkan filem itu.

"Kini filem sudah siap dan sebagai penerbit, Doktor hanya ingin pandang ke depan memikirkan strategi untuk jual filem itu pula," katanya.

Ditanya mengenai pandangannya berhubung dakwaan itu, Dr Rozmey berkata, cerita itu timbul mungkin disebabkan oleh perasaan tidak senang pihak tertentu.

Enggan menuding jari ke arah mana-mana pihak, dia bagaimanapun lebih senang untuk tidak 'beri muka' pada 'dakwaan kosong' itu.

"Ini bukan masanya untuk layan atau melatah dengan perkara remeh-temeh seperti itu. Matlamat utama Doktor adalah untuk jual filem 2 Alam dan capai sasaran RM12 juta.

"Untuk capai sasaran itu, Doktor tak boleh layan cerita remeh-temeh macam ini. Yang penting, semua pihak yang terlibat berpuas hati dengan layanan dan manfaat yang Doktor berikan atas komitmen mereka.

"Filem sudah siap dan hasilnya sangat memuaskan hati Doktor. Malah, ada beberapa pihak yang sudah menontonnya turut mengagumi mutu filem itu," kata Dr Rozmey yang selesa membahasakan dirinya dengan sapaan Doktor.

Dr Rozmey menegaskan, dia menceburi bidang perfileman untuk memberi manfaat dan rezeki kepada semua pihak yang terlibat.

Selain sasaran RM 12 juta itu, kehadirannya di persada seni juga ingin memberi impak dan membawa anjakan kepada perkembangan industri filem tempatan.

"Doktor ceburi bidang ini untuk memberi impak kepada industri perfileman kita. Jenama dan imej Doktor besar dan penting. Rasanya Doktor tak mahu layan cerita remeh-temeh dan gosip seperti itu," katanya lagi.

Sebagai penerbit, dia cuba sedaya upaya untuk menjaga hal ehwal dan kebajikan semua krew terlibat.

Namun Dr Rozmey juga tidak menolak kemungkinan pasti ada individu yang tetap tidak berpuas hati walaupun telah diberikan peluang rezeki dan manfaat menerusi projek 2 Alam itu.

"Biasalah dalam perniagaan, bukan semua orang boleh ikut perjuangan kita. Walaupun kita telah cuba berikan yang terbaik, pasti ada individu atau pihak yang tidak berpuas hati.

"Namun, Doktor tak nak melatah dengan isu remeh-temeh sebegini. Ia bukan satu isu besar atau penting hingga boleh buat Doktor pening kepala.

"Apa yang penting adalah untuk memasarkan dan menjual filem itu agar mencapai sasaran kutipan," katanya dengan penuh bervisi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain