suria

Maya Sedar Kemampuan Diri, Senang Bawa Watak Komedi

Maya masih ingin berdua dengan suami, belum mahu fikir soal anak
Maya masih ingin berdua dengan suami, belum mahu fikir soal anak
Maya masih ingin berdua dengan suami, belum mahu fikir soal anak

KESERASIAN watak komedi dengan insan yang bergelar Maya Matahari atau nama sebenarnya Meyanaliza Ruslee membuatkannya dikenali antara aktres komedi yang banyak mendokong drama-drama tanah air.

Maya mengakui dia banyak menerima watak komedia dari ramai pengarah dan dia merasakan watak tersebut lebih senang dibawanya walaupun kebanyakan artis mendakwa agak susah untuk melakonkan watak tersebut.

"Watak komedi ni sebenarnya tidak terlalu susah hendak dibawa. Tapi Alhamdulillah, saya suka dengan watak sebegitu," katanya selepas majlis Ramah Mesra Bersama Pelakon Drama Ejen 008 dan Na O Mei di Restoran Rebung, Bangsar.

Maya yang sudah sekian lama bergiat dalam industri membuatkan namanya tidak lekang dari bibir peminat dengan wataknya yang mencuit hati memberitahu dia sebenarnya tidak pernah memilih watak sebegitu.

Menurut Maya, sebelum dia menerima tawaran untuk sesuatu watak, dia mengambil kira kemampuan diri.

"Memang saya selalu dapat watak komedi. Bila saya dapat tawaran dan skrip, saya akan pastikan dapat membawa watak tersebut dengan baik.

"Saya sebenarnya suka watak komedi, lagipun saya dapat banyak 'respon' baik daripada peminat," katanya sambil ketawa.

Ketika ditanya peranannya di dalam drama bersiri Ejen 008 ini, Maya memberitahu kali ini dia tetap membawa watak komedi dan peranannya adalah sebagai pembantu peribadi kepada aktres Fauziah Ahmad Daud.

"Watak saya dalam drama ini tetap dengan watak komedi, tapi kali ini saya turut bercakap menggunakan dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia, " katanya.

Isteri kepada Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz ini, turut mengakui dia amat meminati wataknya ketika melakonkan drama Anak Betung kerana memerlukannya melakonkan watak komedi disamping bermain dengan pergolakan emosi antara geram dan serius. "Watak saya dalam drama itu lain sikit kerana turut bermain dengan watak geram dan serius," kata Maya.

Dalam pada itu, Maya turut memberitahu walaupun kini dia sudah bergelar isteri, namun dia tidak sesekali menolak sekiranya diberi apa saja watak sekali pun.

“Suami saya tidak pernah menghalang apa jua watak yang saya lakonkan dan dia faham dengan karier saya,” katanya yang sudah enam tahun berkawan dengan suaminya sebelum mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun lepas.

Ditanya mengenai masalah penceraian artis pada masa sekarang, dia memberitahu mereka sebenarnya terlalu mengikut perasaan tanpa memikirkan kesannya.

“Kita tidak boleh terlalu mengikut kata hati, sebelum membuat keputusan, sebaiknya kita berfikir dahulu, “ katanya.

Sementara itu, Maya memberitahu dia sebenarnya tidak pernah merancang untuk mendapatkan anak, tetapi sebolehnya dia kini mahu hidup berdua dulu sebelum kehadiran cahaya mata.

“Saya nak puas hidup bersama suami dulu. Insya Allah, satu hari nanti saya pasti menjadi seorang ibu juga,” ujarnya sambil tersenyum.

Dalam perkembangan lain, Maya turut memberitahu dia bakal keluar dengan single terbaru ‘Bersalah’ ciptaan oleh Cat Farish dan dalam perancangan untuk mengeluarkan album tetapi masih mencari komposer yang sesuai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain