suria

Saya Bukan Buat 'Liposuction'- Aizat

Aizat dan Faizal akan menjayakan Konsert Satu Suara pada bulan depan. -Foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
Aizat dan Faizal akan menjayakan Konsert Satu Suara pada bulan depan. -Foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
Aizat dan Faizal akan menjayakan Konsert Satu Suara pada bulan depan. -Foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI

PENYANYI yang semakin popular, Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya pada 21 Januari lalu. Jejaka yang kini berusia 20 tahun itu dikatakan jatuh sakit sehari sebelum hari jadinya.

Dia didapati mempunyai masalah pembuangan air besar dan dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pada awalnya saya hanya sakit perut, namun selepas ke hospital doktor beritahu saya mempunyai masalah pembuangan air besar dan terpaksa melakukan pembedahan kecil.

“Tapi ia tiada kaitan dengan diet yang saya amalkan. Doktor beritahu ia berkaitan dengan pemakanan saya, ditambah dengan tidak cukup rehat dan tidur.

“Selain itu, saya akui tekanan semasa membuat persiapan Anugerah Juara Lagu (AJL) juga memberi kesan kepada kesihatan saya.

“Ini kali pertama saya masuk hospital dan kali pertama sambut hari jadi di hospital, Insya-Allah selepas ini saya akan lebih menjaga kesihatan,” ujarnya yang turut tersenarai dalam pencalonan Anugerah Bintang Popular (ABP) kategori artis lelaki popular bersama Faizal Tahir, Adam, Mawi, dan Akim.

Aizat turut menolak dakwaan bahawa dia dimasukan ke hopital kerana melakukan pembedahan sedut lemak atau (liposuction).

“Entah daripada mana mereka dengar saya buang lemak, saya bukan buat liposuction. Saya selesa dengan berat saya sekarang. Lagipun saya tidak akan bahayakan diri dengan pembedahan itu untuk nampak kurus.

“Saya masih amalkan diet mengikut nasihat doktor, cuma sejak akhir-akhir ini terlalu sibuk sehinggakan tiada masa untuk diri sendiri,” ujarnya yang bakal menjayakan Konsert Satu Suara bersama Faizal Tahir pada 12 hingga 14 Februari ini.

Dalam pada itu, Aizat turut berasa kesal dengan tanggapan beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan kemenangan lagu Pergi di AJL lalu.

“Saya rasa normal pada setiap kemenangan ada yang suka dan ada yang tidak, jika dah ditentukan kemenangan di pihak saya, saya terima, namun saya juga tidak dapat elak orang yang tidak suka lagu tersebut,” katanya yang turut mengakui lagu tersebut dikatakan mempunyai semangat Allahyarham Yasmin Ahmad.

Sementara itu juga, ketika ditanya tentang hubungannya dengan pelakon dan penyanyi jelita Liyana Jasmay, dia memberitahu biarlah hubungan itu hanya sebagai kisah peribadinya sahaja.

“Tidak perlu rasanya dibesar-besarkan kisah hubungan cinta saya, kami hanya seperti kawan baik sahaja, saya mahu tumpukan perhatian dalam bidang seni buat masa ini,” ujarnya yang mahu mengelak ketika kisah cintanya dicungkil media.

Selain itu juga, bintang muda yang semakin meningkat naik ini tidak mahu menerima sebarang tawaran untuk bernaung di bawah label tertentu.

“Saya akui banyak mendapat tawaran daripada syarikat-syarikat rakaman di Malaysia ini, tapi saya tolak sebab saya mahu mengukuhkan dahulu syarikat rakaman keluarga iaitu Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd (KGE).

“Buat masa ini biar kami sekeluarga usahakan dulu sehingga ia benar-benar berjaya. Prinsip keluarga kami juga suka cabar diri sendiri dan tidak mahu mengharap kepada orang lain,” ujar Aizat yang dikatakan turut menolak tawaran daripada syarikat rakaman Alibi Sdn Bhd baru-baru ini.

Artikel Lain