’This,,, Is It?’ Mungkin Komedi Terakhir Harith Iskander? - Hiburan | mStar

’This,,, Is It?’ Mungkin Komedi Terakhir Harith Iskander?

MUNGKIN ramai yang menganggap dia meniru tagline penyanyi terkenal Michael Jackson (MJ) kerana pelakon dan pelawak Harith Iskander menggunakan tajuk Harith Iskander’s This,,,Is It? untuk persembahan komedinya pada 3 hingga 7 Februari ini di PJ Live Arts, Jaya One.

Biarpun hanya menggunakan tagline yang sinonim dengan MJ, Pengurus Acara Tall Order Productions Sdn Bhd K. Selvaraj berkata persembahan itu pastinya menjanjikan suatu kelainan.

“Harith akan campurkan idea komedi lama dan baru dan persembahan itu pastinya berlainan daripada persembahan-persembahan komedi yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya sendiri tidak pasti sebab sebenar dia memilih tajuk seperti itu namun mungkin Harith akan melakukan persembahan terakhirnya untuk orang ramai seperti MJ,” ujarnya.

Tambahnya lagi, seperti yang diketahui, Harith akan mempersembahkan komedi-komedi mengikut perkembangan semasa dan terkini.

“Tiket sudah mula dijual kelmarin dan ramai yang telah membuat tempahan untuk menonton persembahan komedinya yang kelima itu,” kata Selvaraj lagi.

Sebelum ini, Harith pernah membuat persembahan komedi Eh, got free ticket ar?, I Don't Know termasuk Harith Iskander Nationwide Live Comedy Tour di lima lokasi.

Seperti yang diketahui, setiap tajuk persembahan komedi yang diberikan oleh Harith datang secara spontan. Jadi tidak mustahil jika Harith secara spontan memberikan tajuk persembahan komedinya This,,,Is It?.

“Mungkin juga hanya sebagai gimik…,” beritahu Selvaraj lagi yang memaklumkan Harith sedang bercuti di Bali.

Saksikan Harith Iskander’s This,,,Is It? pada 3 hingga 7 Februari ini, pukul 8.30 malam di PJ Live Arts, Jaya One. Tiket pada 3, 4 dan 7 Februari dijual pada harga RM43 manakala pada 5 dan 6 Februari berharga RM53.

Untuk sebarang pertanyaan, hubungi talian 012-6832099 atau 03-79600439.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan