suria

Hasrat Dr Anuar Arah Drama ‘Matinya Seorang Sutradara’ Tidak Kesampaian

PETALING JAYA: Pemergian pengkaji dan pensyarah filem terkenal, Dr Anuar Nor Arai, 66, petang semalam bukan sahaja dirasai oleh industri seni tanah air malah merupakan satu kehilangan besar buat Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pemergian Allahyarham amat dirasai oleh rektor Aswara, Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa kerana beliau merupakan seorang pemikir yang menggerakkan pembaharuan Fakulti Filem di Aswara.

"Allahyarham merupakan salah seorang penyumbang idea dalam merangka silibus mata pelajaran di Fakulti Filem dan Video yang sebelum ini merupakan Program Seni Videografi.

"Bukan senang untuk mencari pengganti seperti Allahyarham. Beliau seorang yang berpelajaran tinggi dalam bidang perfileman dan banyak menyumbang idea bagi kemajuan Aswara," kata Najib.

Menurut Dr. Mohamed Najib lagi, terdapat beberapa karya Allahyarham untuk projek Aswara belum siap diterbitkan sepenuhnya.

"Banyak projek yang telah diusahakan oleh beliau untuk Aswara masih lagi dalam proses antaranya pembikinan filem ‘Terowong’ dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Begitu juga beberapa buku dan novel karya Allahyarham masih dalam perancangan.

"Selepas ini, kami akan mencari dan kumpulkan segala hasil usaha beliau terutamanya yang berkaitan dengan pembangunan Aswara untuk diteruskan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Muzik Aswara, Ayob Ibrahim menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang gigih dan mempunyai prinsip kuat dalam berkarya.

"Allahyarham banyak berfikir tentang sesuatu karya itu dari sudut akademik. Beliau juga seorang yang lantang, berterus terang dan tidak menyimpan rasa peribadi jika menyampaikan idea.

"Ilmunya dalam bidang perfileman sangat tinggi. Seminggu sebelum meninggal beliau ada menyatakan hasrat untuk melihat hasil karya beliau di Aswara berada di pawagam. Namun hasratnya tidak tercapai...," ujar Ayob yang juga teman rapat Allahyarham Dr Anuar.

Menurutnya, Allahyarham meninggalkan 76 buah skrip untuk drama televisyen, filem dan teater yang belum diterbitkan dan berada di bawah simpanan keluarganya.

"Skrip-skrip karya Allahyarham sebanyak 76 buah masih lagi belum diterbitkan dan masih belum ditentukan sama ada ia bakal diserahkan kepada Aswara atau Finas. Sayang jika skrip tersebut dibiarkan begitu sahaja," ujarnya.

Bagi teman seperjuangan Allahyarham, Azlim Ibrahim, yang turut sama menjayakan filem ‘Terowong’, hasrat Allahyarham untuk mengarah sebuah drama karya beliau iaitu ‘Matinya Seorang Sutradara’ tidak kesampaian.

"Sebelum ini, beliau ada memberi skrip drama bertajuk ‘Matinya Seorang Sutradara’ kepada Meor Hashim Manap untuk diterbitkan. Namun permintaan Allahyarham adalah untuk mengarah sendiri drama tersebut.

"Beliau berkata pada saya bahawa drama tersebut sangat istimewa dan tiada orang lain yang faham untuk mengarah drama tersebut melainkan dirinya sendiri," ujar Azlim yang juga merupakan pensyarah Fakulti Seni Filem dan Video, Aswara.

Allahyarham Dr Anuar menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Selangor, semalam pada pukul 5.25 petang di sisi isterinya Zahrah Ibrahim. Allahyarham yang dirawat di hospital berkenaan sejak lapan hari lalu, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Arwah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam selepas Zohor hari ini.

Artikel Lain