suria

Saya Bukan Anak Emas MIG - Sam

Sam akan bergandingan dengan Eira Syazira dalam filem Ngangkung ini.
Sam akan bergandingan dengan Eira Syazira dalam filem Ngangkung ini.
Sam akan bergandingan dengan Eira Syazira dalam filem Ngangkung ini.

BELUM pun seminggu filem Adnan Sempit berada di pawagam, Shaheizy Sam atau lebih dikenali sebagai Sam sudah pun diuar-uarkan menjadi peneraju utama bagi filem terbaru MIG Production berjudul Ngangkung.

Bakat dan pakej yang dimiliki oleh jejaka ini menjadikannya aset terbaru MIG untuk memancing penonton ke pawagam. Namun dari segi lakonan pula, Sam cukup disenangi sebagai bintang utama kerana bijak memainkan watak yang diberikan.

Filem Ngangkung merupakan filem keempat Sam bersama MIG selepas Jangan Pandang Belakang Congkak, Syurga Cinta dan Adnan Sempit. Pembabitannya yang agak rancak dalam filem dan drama terbitan MIG sekaligus dikatakan sebagai anak emas terbaru MIG selepas Pierre Andre dan Farid Kamil.

“Saya bukan anak emas MIG, mungkin mereka senang bekerja dengan saya dan saya juga selesa bekerja dengan mereka.

“Buat masa sekarang memang kebanyakan tawaran berlakon adalah dari MIG dan saya pula jenis yang suka fokus dengan satu kerja sahaja. Jadi mereka lebih tahu jadual saya dan bila saya habis penggambaran,” ujarnya yang mula berlakon pada usia 12 tahun.

Dia turut mengakui bahawa popularitinya meningkat semenjak mendapat peluang berlakon dalam filem dan drama terbitan MIG.

“Empat belas tahun dalam bidang lakonan, saya rasa orang sedar kewujudan saya, tapi mereka masih tak percaya kebolehan saya. Bagi saya, seseorang pelakon yang bagus apabila masyarakat sedar dan percaya pada lakonan mereka. Kini mungkin sedikit sebanyak saya cuba berikan keyakinan itu.

“Selain itu juga, banyak produser sekarang kurang percaya dengan pelakon yang ada di Malaysia, saya sangat bertuah kerana diberi peluang oleh MIG. Dan saya harap lebih ramai lagi produser seperti David Teo di Negara kita ini.

“Pelakon seharusnya diberi peluang untuk dieksperimenkan dengan pelbagai watak untuk jadi yang terbaik,” ujar jejaka berusia 28 tahun ini.

Ketika ditanya tentang bidang pengarahan, Sam berkata, perjalanan sebagai pelakon masih jauh dan masih banyak yang perlu dipelajari untuk dia terjun ke bidang itu.

“Saya belum mencapai kepuasan sebagai sorang pelakon dan belum lagi cukup pengalaman untuk pergi ke bidang pengarahan. Mungkin suatu hari nanti bila saya betul-betul bersedia dan telah mencapai apa yang saya inginkan dalam bidang lakonan,” katanya yang mengimpikan untuk berlakon di bawah arahan Osman Ali, Afdlin Shauki dan Kabir Bhatia.

Ketika ditemui di majlis pelancaran dan doa selamat filem komedi seram Ngangkung kelmarin, Sam berkata dia semakin selesa membawa watak berunsur komedi.

“Walaupun watak saya serius tapi saya lebih suka selitkan unsur komedi sedikit agar penonton lebih rasa terhibur.

“Saya bukan peawak tapi saya buat lawak dengan cara saya, untuk filem Ngangkung sendiri saya akan bergandingan dengan pelawak Lan Pet Pet dan Angah Raja Lawak.

“Namun kalau nak diikutkan, saya lebih suka watak bergenre drama yang berat-berat dan lebih menguji lakonan,” ujar pelakon drama sedih Pa’e suatu ketika dahulu.

Ngangkung komedi seram

Filem Ngangkung yang membawa maksud pemujaan nombor ekor merupakan filem bergenre komedi seram arahan Ismail Bob Hasim yang menceritaka kisah tiga sekawan mengamalkan aktiviti pemujaan nombor ekor sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

Azim lakonan Sam, terjebak apabila termakan hasutan rakan-rakannya untuk mendapatkan duit dengan jalan yang mudah. Sehinggalah berlaku kejadian tidak diingini yang memberi pengajaran kepadanya.

Ngangkung akan memulakan pengambaran di sekitar Kuala Lumpur pada hari ini (16 Januari) dan dijangka menelan kos sebanyak RM1.65 juta.

Antara pelakon lain yang bakal menjayakan filem ini ialah Azad Jazmin, Angah Raja Lawak, Putri Mardiana, Eira Syazira, Mazlan Pet-Pet, Azlee Jaafar, Hamdan Ramli dan ramai lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain